Skip to content

Kenapa Doktor Tidur

Baru-baru ini tular di laman sosial video seorang manusia merakam detik-detik dia mengejutkan doktor yang sedang tidur. Tapi bila doktor bangun, tamatkan rakaman pula.
Sedih melihat ada orang begini. Boleh saja dia kejutkan doktor itu tanpa membuat rakaman video. Lagi satu, kita tak tahu jika doktor itu sudah habis syif kerja. Mungkin doktor itu terlalu letih selepas berjam-jam bekerja tanpa henti. Mungkin doktor itu tak sihat. Kita tak tahu kerana tak berada di situasinya.

Mungkin dia tak seharusnya tidur di situ. Tapi kalau tak ada tempat lain untuk dia melelapkan mata dan itu saja tempat yang ada.
Bukan juga saya mengatakan doktor boleh tidur. Jangan salah faham pula. Saya tak sesekali mengatakan doktor boleh tidur ketika bertugas. Tetapi adakalanya kami tertidur. Tidur seketika. Orang putih kata ‘power nap’.
Saya faham kerana saya sendiri pernah melaluinya. Saya pernah tidur di lantai stor linen kerana memang tiada tempat yang disediakan untuk doktor berehat. Ada yang berehat di kerusi saja. Bukannya kita berehat dan tidur berjam-jam. Ada masanya hanya beberapa minit kerana memang sudah terlalu mengantuk dan keletihan.
Semasa bertemu pesakit pun saya pernah tertidur tanpa sedar. Waktu itu saya tengah ‘clerk’ ibu pesakit. Ambil sejarah kesihatan anaknya. Bertanya apa yang menyebabkan dia datang jam tiga pagi hari itu.

“Doktor, doktor.” Ibu pesakit cuit saya. Baru saya tersedar. Ibu pesakit yang kejutkan saya. Dia pun tersipu-sipu tengok saya tertidur sambil duduk di depan dia.

Saya masih ingat lagi sampai sekarang kerana tak pernah dikejutkan oleh ahli keluarga pesakit sebelum peristiwa itu. Malu. Tak tahu mana nak sorok muka. Berkali-kali saya meminta maaf. Mujur ibu pesakit itu faham. Dia pula meminta maaf pada saya kerana datang pukul tiga pagi. Saya kata, tak apa. Anak sakit bukan mengira waktu. Sebenarnya saya malu sebab terlelap depan dia. Terlelap sambil pegang pen dan duduk di kerusi. Bayangkanlah betapa letihnya saya waktu itu.

Kalau orang sekarang agaknya saya sudah terima surat aduan atau ditularkan di laman sosial.

Mengapa saya letih sangat pada waktu itu?

Saya buat oncall EOD beberapa kali.

EOD maksudnya every other day. Maksudnya kami akan oncall selang sehari.

Contohnya begini:

Ahad – Oncall – bekerja 8 pagi hingga 8 pagi esoknya (Esoknya bermakna Isnin)

Isnin – Tak oncall – bekerja 8 pagi hingga 5 petang

Selasa – Oncall – bekerja 8 pagi hingga 8 pagi esoknya (Esok hari Rabu)

Rabu – Tak oncall – bekerja 8 pagi hingga 5 petang

Khamis – Oncall – bekerja 8 pagi hingga 8 pagi esoknya (Esok hari Jumaat)

Jumaat – Tak oncall – bekerja 8 pagi hingga 5 petang
Maksudnya waktu yang kami betul-betul dapat tidur dengan betul ialah selang sehari kalau buat EOD. Jadi bila saya EOD tiga kali waktu itu, saya dapat tidur hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Hari semasa oncall, boleh curi waktu untuk lelapkan mata bila tak sibuk. Itupun sekejap saja. Sebab itu juga kalau tak sibuk, kami akan ambil masa untuk lelap seketika. Hanya untuk segarkan diri semula.
Lebih sedih waktu itu, saya bekerja di bahagian kanak-kanak. Setiap doktor kena buat round tiga kali sehari untuk bahagian yang kami jaga. Maka jadual kami jadi begini pula bila oncall EOD.

Ahad – Oncall – bekerja 8 pagi hingga 8 pagi esoknya (Esoknya bermakna Isnin)

Isnin – Tak oncall – bekerja 8 pagi hingga 9 malam

Selasa – Oncall – bekerja 8 pagi hingga 8 pagi esoknya (Esok hari Rabu)
Rabu – Tak oncall – bekerja 8 pagi hingga 9 malam

Khamis – Oncall – bekerja 8 pagi hingga 8 pagi esoknya (Esok hari Jumaat)

Jumaat – Tak oncall – bekerja 8 pagi hingga 9 malam
Masa rehat kami yang betul-betul daripada jam 9 malam hingga 8 pagi hari Isnin, Rabu dan Jumaat.
Sebab itu saya sampai terlelap seketika depan ibu pesakit ketika itu. Saya benar-benar mengantuk dan letih.
Jadi janganlah marah kalau nampak doktor terlelap. Kami lelap seketika kadang-kadang untuk cas balik tenaga, agar boleh terus bekerja merawat pesakit. Bukannya saya hendak kata doktor dibenarkan tidur. Tak. Jangan putar-belitkan ayat saya ini pula. Cuma kami manusia biasa. Tahu erti penat. Tahu erti mengantuk.

Kalau pernah kerja macam jadual di atas, kamu akan tahu betapa penatnya.

Tak. Saya tak suruh kamu jadi doktor untuk merasai kepenatan itu.

Selalu orang akan kata, ha… cubalah jadi doktor atau jururawat sehari. Baru tahu macam mana rasanya.
Tak. Saya tak akan suruh kamu berbuat begitu. Kerana saya risau ada pula pesakit bertambah teruk bila kamu yang bekerja dalam keadaan begini kerana kamu tak tahan.
Saya cuma mahu orang di luar sana mengerti. Mengerti yang kami manusia biasa. Bukannya robot.

Saya pernah saja tidur di katil pesakit. Rasanya merata tempat saya pernah lelap. Bukannya sebab mengantuk dan letih saja. Ada masanya sebab sakit. Ya, sakit pun kena kerja.
Kenapa sakit pun kerja? Sedangkan pesakit boleh dapat MC. Kenapa doktor susah hendak dapat MC?

Sebab bila kami MC, semakin beban berat kerja kawan yang tidak sakit itu.

Kami MC jika betul-betul perlu saja. Selagi boleh berfikir, kami teruskan bekerja walaupun Tuhan saja tahu penatnya menahan sakit.
Saya pernah berbaring di katil kerana sakit perut dan tak larat bekerja. Patutnya kena kerja 24 jam pada waktu itu tapi pukul 10 malam, ketua suruh saya balik kerana dilihatnya saya benar-benar tak larat dan tak mampu terus bekerja.
Saya pernah saja baring di katil pesakit dengan drip di tangan. Dan MO datang berbincang dengan saya di katil kerana saya tak larat bangun pada waktu itu. Kenapa bekerja juga? Waktu itu tiada doktor lain. Tiada pakar lain.
Maksudnya bila kami terlelap di katil di hospital itu adakalanya disebabkan kami sendiri sakit. Bukan semata-mata mengantuk dan letih. Mengantuk dan letih ditambah dengan sakit. Cukup lengkap pakej.

Jadi, maafkan kami kalau nampak kami terlelap.
Kami tak tidur jika ada pesakit yang memerlukan rawatan. Kami sentiasa bekerja jika masih ada pesakit yang belum dilihat. Kami tak terlelap jika pesakit tak sedarkan diri dan perlu diresusitasi. Kami tak tidur jika pesakit itu kritikal dan memerlukan pemantauan rapi.
Kami tahu prioriti. Kami tahu yang mana mustahak. Kami tahu apa yang penting.
Cukuplah. Panjang pula saya membebel. Terkilan bila ada makhluk yang suka-suka menerjah tempat orang dan membuat video serta tularkannya dengan harapan mahu orang tengok betapa teruknya doktor. Teruk kerana doktor tidur.

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *