Skip to content

Kematian lebih dekat dari yang disangkakan

Balik kampung sempena hari raya haji tempohari, kami sekeluarga dikejutkan dengan kematian Belang.

Pukul 6 pagi, adik saya menghidangkan sarapan untuk Belang dan adik-beradiknya. Nasi dan ikan rebus.

Pukul 7 pagi, abang yang mahu ke tempat kerja ternampak seekor kucing yang terbaring di tengah-tengah jalan raya.

Kata emak, Belang tidak pernah sampai ke jalan raya di depan rumah kami. Jalan raya yang penuh dengan kenderaan yang laju-laju belaka. Bukan setakat kereta dan motorsikal, berpuluh lori dan kenderaan berat lalu di depan rumah kami.

Inilah namanya sudah sampai ajal. Entah mengapa, Belang tergerak untuk pergi ke jalan raya. Mungkin ternampak sesuatu yang menarik hatinya.

Ketika adik mengalihkan Belang yang sudah tinggal jasad saja, saya memandang kosong. Tidak tahu apa yang mahu difikirkan. Perutnya terbelah menampakkan isi di dalam. Kepalanya pecah. Melihat keadaannya, saya tahu dia mati serta-merta di tempat kejadian.

Belang yang paling manja antara semua adik-beradiknya. Cuitlah dia, gomol dia, tarik-tarik kaki, peluk dia. Dia tak pernah melawan, tak pernah keluar kuku. Manjanya dia pada orang. Saya memang tak rapat dengan dia kerana jarang berada di rumah.

Bukan manusia saja yang meninggalkan dunia fana ini, kucing pun akan pergi juga apabila tiba masanya. Cuma kematian Belang ini tragis dan menyayat hati.

Selepas Subuh dia masih menghadap rezeki. Satu jam kemudian, dia sudah tiada buat selama-lamanya.

Pemergian Belang mengingatkan saya pada peristiwa ngeri di mana empat ekor anak kucing mati serentak beberapa tahun yang lalu.

Petang itu anak-anak kucing riang berlari-larian menemani kami adik-beradik bermain badminton di laman rumah. Melihat gelagat mereka, kami turut terhibur.

Kucing memang binatang yang disayangi manusia.

Mereka ligat melompat dan bergurau sesama sendiri. Malah berlari-lari di sekeliling kami yang sedang bermain badminton. Keriangan mereka seperti tidak ada masalah langsung di dunia ini.

Malam, kami sekeluarga makan di luar. Pulangnya kami ke rumah dikejutkan dengan pemandangan yang menyedihkan. Tiga ekor anak kucing bergelimpangan di laman rumah, terbujur kaku dengan badan yang berlumuran darah. Kesan gigitan dan luka yang bukan sedikit.

Kami tercari-cari dua ekor anak kucing lagi. Seekor lagi kami temui tidak jauh daripada situ. Juga sudah tiada. Badan dan kepala yang penuh dengan darah.

Mana seekor lagi?

Sedihnya hati Tuhan saja yang tahu.

Kami mengelilingi rumah. Terdengar suara halus anak kucing mengiau dari kejauhan. Seperti sudah hampir kehilangan suara. Puas kami melihat dan mencari. Rupa-rupanya dia bersembunyi di belakang mesin basuh.

Dia tampak trauma. Pastinya ketakutan dengan apa yang telah berlaku.

Kami sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Adakah diserang kucing lain atau?

Hanya dia yang selamat dan hidup. Empat adik-beradiknya meninggalkan dia buat selama-lamanya.

Bukan kematian manusia saja yang membuatkan hati menjadi pilu. Kehilangan haiwan yang disayangi turut menjentik emosi. Kerana kita sebagai hamba-Nya dikurniakan perasaan kasih dan mengasihi yang lain.

Saya tak pernah lupa dengan kematian kucing-kucing keluarga saya.

Putih, Belang, BJ, Kudut, BabyTom, Kecik dan yang lain-lain… terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup kami.

Sememangnya kematian lebih dekat dari yang kita sangkakan.

P.S: Posting ini untuk Belang yang tak sempat saya kenali.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *