Skip to content

Ke mana anak saya hilang

Saya baru mahu berjalan ke bilik ketika terserempak dengan seorang perempuan yang sedang menangis-nangis. Dia terjelepuk di lantai sambil memegang dada. Di sisinya dua orang kanak-kanak.

“Kenapa ni, A?” Tanya saya pada A, Penolong Pegawai Perubatan yang berdiri di sisi perempuan tersebut.

“Dia sakit dada. Nak minta dia baring kat katil buat ECG.” Jelas A.

Perempuan itu perlahan-lahan naik ke katil sambil teresak-esak menangis.

Dipendekkan cerita, saya dapat tahu kisahnya setelah MO dan saya menemuramah perempuan ini. Itu pun dalam cubaan kedua.

Cubaan pertama saya bertanya dengannya membuatkan air matanya berjuraian kembali. Dia menangis semula ketika saya bertanya apa yang berlaku. Kali kedua baru dia bertenang sedikit.

Biar saya namakan dia Puan E. Di failnya tertulis umur baru 43 tahun. Hmm… Tujuh tahun lebih tua daripada saya. Tapi kenapa dia nampak sudah tua? Banyak masalah agaknya dalam kehidupan…

Benarlah tekaan saya.

Dia baru pulang dari balai polis. Melaporkan kehilangan anak perempuannya yang baru berusia 20-an. Anaknya yang belajar di kolej sudah hampir sebulan tidak dapat dihubungi.

Puas Puan E menelefon anaknya tetapi tiada jawapan. Dia bertanya kepada rakan-rakan kolej anaknya namun tidak mendapat jawapan. Ke sana sini Puan E cuba mencari anaknya.

Hari ini sudah habis daya ikhtiar mencari anak. Kerana itu dia ambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak polis.

“Saya tak tahu mana lagi nak cari anak saya, doktor.” Sayu suara Puan E.

Diculik orang, melarikan diri atau menghilangkan diri… tiada siapa yang tahu.

Kata Puan E, dia baru mahu bahagia semula tapi kehilangan anaknya kali ini meremukkan hatinya.

Anak perempuannya ini membuatkan dia terkejut empat tahun yang lalu apabila mengandung tanpa suami. Teman lelaki berlainan agama. Lelaki itu enggan bernikah dengan anaknya kerana tidak mahu bertukar agama.

Puan E turun naik mahkamah bagi memastikan anak dan cucunya tidak diganggu oleh lelaki itu lagi. Anaknya membuka lembaran baru dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga sekarang berjaya melanjutkan pelajaran ke kolej.

Tetapi apa yang berlaku kali ini membuatkan Puan E lelah semula.

Di balai polis, dia masih boleh bertenang dan bercerita segalanya kepada pegawai polis yang menerima laporannya.

Ketika menaiki bas sewaktu hendak pulang ke rumah, kesedihannya tidak dapat diempang lagi. Dia menangis sepanjang berada dalam bas hingga dadanya terasa sakit.

Dia turun dari bas dan berjalan ke hospital. Jalan ke hospital saya naik bukit sedikit. Kalau orang biasa pun boleh semput kalau berjalan dari bahagian bawah ke hospital. Apatah lagi kalau berjalan dalam keadaan sakit.

Saya tidak dapat bayangkan Puan E berjalan ke hospital dalam keadaan sakit dada dan menangis sepanjang perjalanan.

Terbayang kalau emak sendiri berjalan sedemikian rupa. Sedih. Sakit. Tak dapat digambarkan. Semuanya berbaur.

Puan E tampak bertenang setelah berehat di katil. Dia cuba tersenyum walaupun saya tahu ada kepahitan dalam senyuman yang diukirkannya.

Saya doakan anak Puan E ditemui dalam keadaan selamat. Hati seorang ibu, pasti merisaukan anak walau berapa umur anak sekali pun.

Di mata ibu, kita tetap anak kecilnya sampai bila-bila.

P.S : Terganggu emosi saya menyaksikan kesedihan seorang ibu. Sungguhlah… pekerjaan ini beri saya makna syukur dan ajar saya agar terus berusaha menjadi anak yang baik kepada ibu bapa.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *