Skip to content

Kaya

Apa definisi kaya bagi anda?
Kaya harta? Kaya jiwa? Kaya anak? Atau roti kaya?

Kita fokus pada kaya harta di sini.

Berapa banyak nilai harta yang perlu dimiliki sebelum dilabelkan sebagai orang kaya.
1 juta? 2 juta? 10 juta?

Memiliki rumah melebihi sebuah? Mendapat gaji lima atau enam angka sebulan?

Kaya ini subjektif. Ada orang sudah rasa dirinya kaya apabila memiliki RM10,000. Ada yang berasa kaya apabila simpanan dan nilai harta mencecah RM100,000. Rata-rata menyatakan RM1 juta menjadi penanda aras untuk menyebut dirinya sebagai orang kaya.

Anda pilih dan tentukan nilai kaya untuk diri sendiri. Bukan masyarakat yang menentukan nilai diri dan harta anda.

Tidak semua orang berniat menjadi kaya. Namun tak salah menjadi kaya. Dengan menjadi orang kaya, kita boleh berkongsi harta yang dimiliki dengan orang lain. Membayar zakat lebih banyak, memberi sedekah sebanyak yang termampu. Kita ada kemampuan untuk mendirikan rumah anak yatim atau sekolah tahfiz apabila memiliki kewangan yang mantap.

Kekayaan harus dipandang positif. Jika disingkap dari sisi negatif, sampai bila kita tak akan kaya kerana minda sudah ditetapkan bahawa kaya itu tidak elok.
Bagaimana untuk menjadi kaya apabila kita tidak memiliki banyak duit atau harta? Saya boleh berikan dua cara untuk anda praktikkan serta-merta.
  1. Berbelanja kurang daripada pendapatan.

  1. Tidak mempunyai kemahuan yang banyak.
Berbelanja kurang daripada pendapatan. Ringkas saja konsep ini.

Pendapatan bulanan RM2000. Berbelanja RM1500 atau RM1800. Selebihnya simpan. Bagaimana jika kita berbelanja RM2100 sedangkan pendapatan RM2000. Itu yang menyebabkan kita rasa tak cukup. Kerana kita berbelanja terlebih RM100.
Jadi bagaimana jika kita mahu berbelanja RM2100 sedangkan pendapatan hanya RM2000?

Kita harus mencari cara untuk menambah pendapatan. Kena cari sumber lain untuk mendapatkan RM100 bagi mengimbangkan perbelanjaan. Jika tidak, kita perlu mencukupkan perbelanjaan dengan nilai pendapatan.

Tidak mempunyai kemahuan yang banyak.

Kita tidak terpengaruh dengan orang sekeliling masyarakat yang asyik mengejar dan berubah mengikut zaman.

Mahu tukar telefon baru sedangkan telefon lama berfungsi dengan baik. Mahu tukar kereta baru kerana terpengaruh dengan pujukan pasangan yang mahu kereta lebih gah. Mahu beli perabot baru untuk raya sedangkan perabot lama masih elok.

Tidak terikut dengan gaya hidup materialistik. Hanya beli barang apabila diperlukan.

Kemahuan yang tidak banyak bermakna anda berpuas hati dan berasa cukup dengan apa yang ada.

Amalkan dua perkara ini, Insya Allah anda akan berasa diri sebagai orang kaya. Cukup segalanya. Hati tenang. Tak kalut mengejar kekayaan. Tak kelam-kabut mahu meniru orang lain. Tak terbeban dengan hutang yang buruk.
Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *