Skip to content

Kasut sekolah bertapak tebal

 

Sayu pula rasa hati membaca mesej whats app ‘group KTAM’.

Semasa kami bersekolah di KTAM (sekolah menengah rendah), seorang rakan saya mengatakan dia teringin memiliki kasut sekolah bertapak tebal. Dia melihat saya dan seorang lagi rakan memakai kasut bertapak tebal, maka dia pun menyimpan hasrat untuk memiliki kasut yang sama.

Namun ayahnya sakit ketika itu dan kewangan keluarganya tidak mengizinkan untuk dia menunaikan impiannya.

Tak sangka apa yang kita pakai waktu itu di sekolah boleh membuatkan orang lain sedih kerana tidak mampu untuk memilikinya.

Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk kepada kawan saya itu. Tidak pernah terlintas di hati.

Sebenarnya tidak mudah juga untuk saya dapatkan kasut itu. Sudah lama saya ingin memakai kasut itu. Puas saya mengecek emak agar belikan kasut itu untuk saya. Emak tidak berkenan dengan kasut itu. Katanya macam kasut lelaki dan besar saiznya, tidak sesuai untuk saya.

Saya tidak berputus asa. Saya mahu beli dengan duit sendiri. Tetapi duit yang saya ada tidak cukup untuk membeli kasut itu maka makcik saya yang kasihan dengan saya menolong mencukupkan duit saya. Dapatlah saya membelinya.

Girang rasanya apabila dapat berjalan dengan kasut bertapak tebal. Jenama Winner kalau saya tidak silap.

Sejak pakai kasut itu, tak putus senyum saya.

Selepas dua dekad, baru saya tahu… sepasang kasut sekolah saya menyebabkan seorang sahabat menjeruk rasa untuk memilikinya.

Rasa bersalah pulak. Maaf ya kawan.

Kadang-kadang tanpa sedar, kita membuatkan orang lain sedih.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *