Skip to content

Kasut basah lagi

Pagi ini ketika mahu berangkat ke tempat kerja, kasut saya sudah kering. Senang hati saya memakai kasut kering. Tidaklah kaki kurang selesa dan rasa sejuk saja.

Namun hujan lebat pada penghujung waktu kerja membuatkan saya resah. Kasut saya basah semula kerana banyak lopak-lopak air dari hospital ke tempat parking kereta. Apatah lagi kereta saya diletakkan di kawasan paling hujung.

Selama ini saya cukup dengan sepasang kasut kerja. Saya hanya menggunakan sepasang kasut kerja dalam satu-satu masa. Apabila kasut itu rosak atau sudah terlalu buruk barulah saya membeli kasut baru.

Saya rasa satu pembaziran jika memiliki lebih daripada sepasang kasut kerja. Emak kata saya kedekut kalau mahu mengeluarkan wang dalam membeli pakaian dan kasut.

Kedekut atau tidak mahu membazir?

Ya, saya mengaku. Memang saya akan berfikir berkali-kali jika mahu membuat pembelian kasut atau pakaian. Saya hanya membeli pakaian jika betul-betul perlu.

Ada di antara baju kurung yang saya gunakan sekarang ialah baju kurung yang saya gunakan semasa zaman sekolah menengah. Selagi baju itu elok dan tidak koyak, saya akan memakainya. Tidak ada istilah tidak ‘up to date’ atau yang seumpamanya dengannya kerana apa yang penting saya memakai pakaian yang kemas dan elok.

Tetapi jika melibatkan perkara saya suka seperti buku-buku atau kursus penulisan, saya tidak akan berfikir panjang. Sentiasa ada bajet atau peruntukan untuk barang-barang atau perkara yang disukai. Bayar mahal-mahal untuk makanan yang sedap tidak menjadi masalah bagi saya kerana saya suka makan.

Hatta mengeluarkan duit beribu-ribu untuk melancong tidak terasa berat sepertimana saya mahu mengeluarkan duit untuk membeli pakaian kerana saya sangat suka melancong.

Satu lagi alasan saya tidak suka membeli pakaian ialah kerana saya tidak suka menghabiskan masa memilih pakaian atau kasut yang mahu dibeli. Bagi saya, memilih pakaian membuang masa saya yang amat berharga. Masa itu lebih baik digunakan untuk saya membaca buku atau menonton drama kegemaran saya.

Namun ada masanya kita harus mengubah pandangan dan fikiran kita. Nampaknya saya kena mengubah pendapat saya bahawa memiliki lebih daripada sepasang kasut kerja ialah satu pembaziran. Bukannya saya tidak memiliki wang untuk membeli sepasang kasut lagi.

Hal ini sama juga seperti apa yang ditulis oleh rakan saya, Norsa’adah Ahmad dalam status facebooknya semalam.

Menjadi popular atau dikenali?

Dahulu penulis dikatakan insan yang suka bersembunyi di belakang tabir. Penulis hanya perlu menulis, tidak perlu ke depan untuk memperkenalkan dirinya

Zaman sekarang, penulis tidak boleh malu-malu lagi untuk berjumpa dengan khalayak. Tidak boleh takut-takut lagi untuk bercakap. Jika penulis dikenali, lebih mudah buku sampai kepada khalayak pembaca dan apa yang mahu disampaikan berjaya menembusi minda masyarakat.

Saya mahu jadi popular dan dikenali dengan karya-karya yang berkualiti. Oleh itu saya harus bekerja keras mulai sekarang.

Apabila sesuatu perkara berlaku atau kita sudah sampai ke fasa seterusnya, pandangan kita juga turut berubah.

Ya, nampaknya saya terpaksa beli sepasang kasut hujung minggu ini.

‪#‎stetoskopdanpen‬

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *