Skip to content

Kasihnya Ibu

 

Semalam, seorang perempuan berusia 30-an ditolak masuk ke resus kerana mengadu sakit dada dan sesak nafas. Pemeriksaan yang dilakukan menunjukkan dia mengalami jangkitan kuman pada lapisan yang menyelaputi jantung. Terdapat cecair yang berkumpul di situ dan menyebabkan dia susah hendak bernafas. Satu prosedur perlu dilakukan bagi mengeluarkan cecair tersebut.

“Puan datang dengan siapa?” Kami bertanya kerana ingin memaklumkan kepada waris pesakit berkenaan prosedur yang akan dijalankan.

“Suami saya hantar saya ke sini tapi dia dah balik ke rumah.” Dalam kepayahan bernafas, dia menjawab soalan.

“Dah balik rumah? Suami tak tunggu di luar?”

Saya terperanjat. Dalam hati mahu marah. Isteri sesak nafas macam ni, kenapa suaminya balik rumah pulak. Belum sempat bersangka buruk lebih jauh, perempuan itu memotong. “Dia balik rumah untuk jaga anak kami.”

“Tadi dia hantar saya dengan bawa dua-dua anak saya. Anak saya tujuh dan empat tahun. Saya yang suruh dia balik ke rumah dengan anak-anak. Dia nak tunggu, saya cakap tak payah. Kesian pada anak.”

Terus terdiam saya mendengar apa yang dikatakannya.

“Anak saya nangis-nangis tak selesa tadi. Jadi, biarlah suami saya duduk di rumah dengan anak.”

“Kami nak call dia bagi tahu tentang puan.”

“Tak payahlah call suami saya.” Perempuan itu membantah.

“Kenapa tak boleh puan?” Saya pelik.

“Nanti dia susah hati pula, mana nak jaga anak lagi.”

“Tapi kami kena bagitahu dia juga. Sebagai suami, mesti dia nak tahu apa yang berlaku pada Puan.”

Perempuan itu terdiam lama sebelum kembali bersuara. “Okay, boleh call dia tapi cakap dengan dia jangan datang. Kasihan anak-anak.”

Kami patuh dengan permintaannya. Kami hubungi suaminya dan memaklumkan permintaannya itu.

Tadi, saya mengunjungi pesakit ini di ICU.

“Suami ada datang Puan?”

Perempuan itu menggeleng. “Biarlah dia kat rumah jaga anak. Kalau dia datang kena bawa anak-anak. Tak ada orang lain boleh tolong jaga anak. Kalau anak saya datang ke sini dan menangis-nangis, saya pun akan menangis sama susah hati.”

Meskipun sedang sakit, dia tidak mementingkan diri. Seorang ibu tetap mendahulukan kebajikan anak-anak walau dalam keadaaan apa sekali pun. Seorang ibu mahu yang terbaik untuk anak-anak. Mahu anak selesa, gembira dan tidak ada yang perlu dirisaukan oleh anak. Walau si ibu sedang dalam kesakitan dan kepayahan.

Bagaimana dengan kita sebagai anak? Adakah kita fikirkan ibu bapa kita dalam apa jua keadaan sebagaimana ibu bapa kita fikirkan kita.

Apabila sakit, kita mahu ibu di sisi menjaga kita yang merengek-rengek sakit. Tetapi si ibu apabila sakit, tidak mahu menyusahkan orang lain hatta suami atau anak-anak.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *