Skip to content

Kami tak ada kereta

 

“Kepala makcik pening, nak.”

Makcik ini, umurnya mencecah 60-an. Penghidap kanser paru-paru, sedang menjalani rawatan kemoterapi. Minggu lepas, kali pertama dia kemoterapi. Minggu depan, dia akan menjalani kemoterapi untuk kali kedua.

Datangnya ke hospital hari ini walaupun tidak ada jadual rawatan kemoterapi minggu ini kerana dia berasa pening.

“Makcik datang sini naik apa? Anak hantar ke?”

Makcik terdiam. Lambat dia mahu memberi jawapan.

“Makcik datang naik bas. Makcik jalan jauh tadi dari rumah. Pening. Tapi makcik paksa diri jalan sebab nak naik bas datang ke hospital. Terhuyung-hayang makcik jalan. Tempat tunggu bas jauh dari rumah.”

Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan mendengar apa yang terluah. Makcik itu sebaya dengan emak saya.

Saya tidak dapat membayangkan jika emak saya sendiri yang berjalan dalam panas terik dalam keadaan pening dan kemudian menaiki bas.

Sedihnya.

“Kenapa anak tak hantar?”

“Anak makcik perempuan tu sarat mengandung. Tunggu masa lahirkan anak.”

“Menantu makcik?”

“Dia pergi kerja. Dia pun naik bas pergi kerja. Kalau dia tak kerja, mana nak cari duit untuk makan.”

“Suami makcik?”

“Makcik ibu tunggal.”

Kereta satu keperluan zaman sekarang. Kereta bukan untuk bermewah-mewah. Rupanya masih ada yang tidak mampu memiliki kereta.

Kalau kita memiliki kereta, sekurang-kurangnya kita ada kereta. Walaupun hangat hati terpaksa menempuh jem setiap hari untuk ke tempat kerja, setidak-tidaknya kita masih punya kereta sebagai pengangkutan kala kecemasan berlaku.

Tidak perlu keluarga kita menaiki bas untuk ke hospital dalam keadaan tidak sihat.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *