Skip to content

Kalau anak saya mati

Seorang bapa yang membawa anaknya marah-marah apabila doktor bertanya apa yang berlaku.

“Kamu rawat saja dia. Jangan banyak tanya.”

“Kalau anak saya mati, kamu pun akan mati.”

Terdiam terus doktor yang bertanya.

Staf yang lain cepat-cepat memujuk dan membawa si bapa keluar dari zon merah.

Hmm…

Kami tahu dia panik kerana bimbang perkara yang buruk berlaku terhadap anaknya. Tetapi bukan salah kami bertanya soalan kerana itu sememangnya yang wajib kami lakukan.

History taking.

Kami bertanya kerana mahu tahu apa yang berlaku. Bukannya ingin kepoh-kepoh atau menyibuk tak tentu pasal.

Pada waktu tegang seperti ini, karakter sebenar kita akan terserlah.

Si bapa panik dan bimbang tetapi itu bukan tiket untuk dia mengugut dan memarahi orang yang cuba menolong anaknya.

Saya keluar berjumpa dengan si bapa yang duduk di luar triage.

Saya tanya apa sebenarnya yang berlaku. Katanya, anaknya yang berusia 3 tahun itu jatuh dari tingkat empat rumah mereka. Mereka sedang sibuk dengan majlis perkahwinan. Tidak sedar anak kecil ini berjalan ke balkoni. Abang yang berumur 7-8 tahun nampak adik terjatuh namun hanya mampu menjerit.

Saya katakan kepada si bapa, tidak sepatutnya dia marah-marah dan berkata kasar kerana kami mahu menolong, bukannya mahu menyakitkan lagi anaknya.

Dia membalas. “Saya panik bah. Anak sudah jatuh, lagi ditanya macam-macam.”

“Kami bertanya kerana mahu tahu apa yang terjadi. Macam mana mahu bagi rawatan kalau tidak tahu apa yang terjadi.”

Dia diam.

Kadangkala saya tak faham. Bukan kadangkala, selalu rasanya. Masyarakat fikir kami doktor boleh membaca fikiran orang lain, boleh tahu apa yang terjadi pada pesakit dengan hanya melihat.

Kalau bomoh ya la. Jejak kaki ke tangga rumah, tok bomoh sudah tahu apa kenapa kita datang ke rumahnya.

Doktor berlainan. Perlu tanya dengan pesakit atau ahli keluarga pesakit apa sebenarnya yang terjadi. Maklumat yang jelas akan memudahkan kerja kami.

Seperti kanak-kanak ini yang terjatuh dari tempat tinggi, jadi memerlukan penyiasatan pengimejan otak untuk melihat sama ada terdapat perdarahan atau retak tulang kepala.

Katakan ada kanak-kanak lain yang terjatuh dari kerusi yang diduduki. Tidak tinggi, jadi impaknya pun tidak seperti impak jatuh dari tempat yang tinggi.

Maka, faham kan kenapa kami perlu tanya.

Dan lagi, kami bertanya bukannya bermakna rawatan tidak dilakukan.

Mulut bertanya tapi kerja jalan. Bukan doktor seorang saja di jabatan kecemasan. Ada jururawat dan PPP. Mereka boleh mengambil tanda vital, memasang branula, membersihkan luka dalam masa doktor bertanya soalan. Bukan bermakna bila doktor bertanya, kami membiarkan saja budak itu tanpa apa-apa rawatan.

Jadi, tolonglah jangan marah-marah kalau doktor atau staf hospital bertanya apa yang terjadi. Tolong jangan mengugut kami yang mahu membuat kerja.

Penat bah kena marah, kena ugut. Kenapa mahu jadi samseng terhadap kami yang ikhlas membantu?

?

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *