Skip to content

Jutawan oleh Kamaludin Abdul Set

Terus-terang saya katakan tajuk buku ini yang menarik perhatian saya kerana saya bercita-cita ingin menjadi jutawan.

Siapa yang tidak mahu menjadi jutawan? Dengan menjadi jutawan, kita boleh melakukan apa yang kita mahu buat tanpa gusar memikirkan soal kewangan yang membatasi hasrat kita selama ini.

Salahkah bercita-cita menjadi seorang jutawan? Tidak salah andainya kita menjadi jutawan dengan cara yang betul dan memanfaatkan apa yang kita miliki untuk kebaikan diri dan orang di sekeliling.

Rasydan, watak utama dalam novel ini menjadi jutawan segera setelah memenangi pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak satu juta ringgit.

Apakah yang akan kita lakukan jika mendapat durian runtuh seperti yang diperolehi Rasydan?

Kalau saya insan bertuah itu, saya akan gunakan duit yang dimenangi untuk melancong bersama keluarga dan membeli buku-buku hingga penuh satu bilik. Tapi saya bukan Rasydan.

Apakah yang Rasydan lakukan?

Dia menggunakan duit itu untuk menolong orang-orang yang terdekat dengannya. Baginya tidak bermakna jika dia memiliki wang yang banyak tetapi tidak menolong rakan-rakan dan saudara-mara serta orang sekeliling. Niatnya mulia.

Namun puas dia dinasihatkan oleh sahabat baiknya supaya berpada-pada apabila berbuat baik. Mengapa? Adakah sahabat baiknya itu cemburu dengan kekayaannya? Tidak. Sebaliknya dia tidak mahu Rasydan melakukan perbuatan yang sia-sia. Nasihatnya kepada Rasydan seperti mencurah air ke daun keladi.

Adakah berbaloi pertolongan Rasydan?

Buat baik jangan mengharapkan balasan atau usah bermimpi yang indah-indah. Kita sangka semua orang sama seperti kita. Namun rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Geram. Itu perasaan saya usai membaca novel ini. Ingin menjerit kepada Rasydan, mengapa bersikap terlalu baik hati.

Melayu mudah lupa, antara mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang. Saudara-mara yang mendapat bantuan daripada Rasydan ternyata tidak menghargai pertolongannya. Malah Rasydan pula yang dipersalahkan atau menjadi mangsa keadaan. Begitulah hidup di dunia ini lumrahnya.

Ternyata pengarang berjaya membawa pembaca menghayati kisah Rasydan sehingga hanyut sama dengan emosi watak-wataknya.

Buku yang berjaya. Berjaya membuatkan saya geram dengan Rasydan.

Bahasanya mudah dan pengisiannya tidak sukar dihadam. Pembaca memahami jalan cerita dan pembacaan lancar. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk membaca buku ini. Namun mesej yang tersirat terkesan hingga sekarang.

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *