Skip to content

Jiwa

Jiwa yang tenang.
Sesiapa saja mahu jiwa yang tenang. Kita tak mahu hidup dalam keserabutan. Kita mahu menikmati hidup dengan penuh keasyikan. Gembira dengan apa yang Tuhan tetapkan dalam perjalanan kita sebelum pergi kepada Dia.
Bagaimana mahu jiwa yang tenang?

Memiliki harta yang banyak? Jawatan yang hebat?

Kalau syaratnya ialah memiliki harta yang banyak, kenapa kita lihat ada orang kaya yang tak tenang.

Kalau syaratnya ialah jawatan yang hebat, kenapa kita lihat mereka yang berjawatan hebat ini mempunyai masalah seperti orang lain.
Maksudnya itu apa?

Maksudnya untuk memiliki jiwa yang tenang bukan dengan harta yang banyak atau jawatan yang hebat.
Perkara ini relevan dengan diri saya sendiri. Bukanlah hendak kata saya memiliki harta yang banyak atau jawatan hebat. Namun Insya Allah harta yang ada itu cukup untuk diri saya. Jawatan hebat? Ada rakan-rakan kagum dengan jawatan doktor pakar yang saya sandang ini. Gred UD54 ini begitu gah di telinga.
Hakikatnya kita perlu akur bahawa semua milik kita di dunia ini bersifat sementara. Kuasa Tuhan boleh menarik balik segalanya sekelip mata.

Kalau dengan memiliki harta dan jawatan, jiwa saya boleh tenang sudah tentu sekarang sudah tenang. Tapi tidak.

Berserabut awal-awal menjadi pakar. Rasa beratnya beban yang ditanggung sebagai seorang doktor pakar. Seperti ingin kembali menjadi pegawai perubatan. Tidak ada beban menanggung kerja pakar.
Rasa terbeban membayar hutang yang ada. Hutang rumah. Rumah yang dianggap sebagai harta oleh orang lain.
Bukan dua perkara ini sebagai syarat untuk mempunyai jiwa yang tenang. Bukan.

Sekarang saya masih menyandang jawatan doktor pakar. Masih membayar hutang rumah dengan gaji bulanan yang diperolehi. Hakikat itu tak berubah. Namun apa yang berubah?

Jawapannya apa?

Jawapannya adalah kembali kepada Tuhan.
Ke ceruk mana pun kita pergi, Tuhan itu ada. Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Kita yang selalu lupakan Dia. Hanya ingat Dia bila dalam kesusahan atau sedang menderita. Sedangkan setiap hari setiap jam setiap minit setiap saat kita harus mengingati Dia.
Dia yang Maha Berkuasa. Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mengingati Dia saja membuatkan jiwa jadi tenang. Kerana kita tahu apa saja yang berlaku dalam hidup ini, itu adalah apa yang Tuhan tetapkan untuk kita. Kenapa kita mahu marah dengan takdir-Nya.
Mengingati Dia. Laksanakan suruhan Dia.

Baca al-Quran setiap hari. Sekurang-kurangnya satu muka surat sehari. Beli tafsir al-Quran. Baca al-Quran dan lihat makna setiap ayat. Setiap ayat dalam al-Quran, Tuhan tujukan untuk kita.

Kembali kepada Tuhan. Hidup dalam acuan Islam. Panduan Islam. Agama kita sudah cukup lengkap. Sempurna. Cuma kita sebagai manusia kadang-kadang lalai dan leka.

Besar makna memiliki jiwa yang tenang. Apabila jiwa tenang, kita sudah tak serabut lagi dalam hidup seharian. Kita bangun setiap hari dengan penuh kesyukuran. Syukur atas segala kurniaan Tuhan. Syukur dengan sekecil-kecil nikmat. Apatah lagi nikmat yang besar. Hatta nikmat bernafas. Nikmat dapat berjalan. Nikmat boleh buang air kecil dan besar dengan normal. Itu semua nikmat.
Kita hidup tanpa perlu mengikut kata orang. Tak terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat. Hanya ikut ajaran Islam. Ikut apa yang tertulis dalam al-Quran. Ikut apa yang tertulis dalam hadis Rasulullah.

Kembali hidup bertuhan. Kembali pada Allah yang Maha Esa. Kembali hidup menurut sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang kita cintai.

Saya doakan semua rakan yang membaca entri ini dapat memiliki jiwa yang tenang. Tabah dalam setiap dugaan yang Allah datangkan dalam hidup kita. Kerana Dia tahu kemampuan kita sebesar mana. Dia tahu kita akan kembali kepada Dia.

Semoga kita semua dimatikan dalam keadaan yang baik. Doakan. Saya doakan anda juga.
Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *