Skip to content

Jatuh dari kereta yang bergerak

 

“Fuiyoo! Dahsyatnya patah.”

Terkebil-kebil mata saya melihat x-ray yang ditunjukkan MO.

Hujung tulang paha kiri patah dan berganjak dari kedudukan asal (Left supracondylar femur fracture). Patah seperti ini selalunya disebabkan momentum atau impak yang kuat.

“Macam mana boleh jadi macam ni, Puan?”

Emaknya merah-merah mata menangis melihat anak yang berada dalam kesakitan.

“Jatuh dari kereta.”

“Jatuh dari kereta?” Saya tidak faham.

“Saya tengah belok di selekoh. Tiba-tiba pintu terbuka dan dia terkeluar dari kereta. Jatuh atas jalan raya.” Terang emaknya panjang lebar.

“Hmmm….” Tersenyap sekejap saya.

Selalunya dalam filem saja saya nampak adegan orang terkeluar dari kereta. Selalunya orang jahat menolak hero keluar dari kereta. Hero berguling-guling atas jalan raya dan selamat.

Anak ini berusia lapan tahun, terkeluar dari kereta dan terjatuh di atas jalan raya hingga patah kaki. Yang pastinya, bukan adegan filem. Kisah benar.

“Mujur kereta belakang tak langgar dia. Kalau tak, saya tak tahu apa jadi. Lagi teruk.” Emaknya mengesat air mata yang masih tidak berhenti mengalir.

“Macam mana pintu kereta boleh terbuka?” Tanya saya. Terasa macam bodoh soalan ini tapi saya ingin tahu juga.

“Saya tak tahu la doktor. Mungkin pintu tu tak kuat. Saya rasa saya dah kunci pintu.”

Hmmm…. Malang memang tidak berbau.

Ibu bapa yang punya anak kecil berhati-hatilah. Pastikan pintu kereta anda berkunci supaya kejadian seperti ini tidak berlaku.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *