Skip to content

Jangan baca entri ini

 

Sorry Ismi Fa Ismail, pinjam trademark Jangan!

Entri hari ini agak panjang daripada biasa. Jadi kalau anda ada kerja lain yang hendak dibuat, tak perlulah baca.

Kalau kerja anda mengadap facebook 24 jam, dipersilakan baca. Gurau saja… hehehehe… jangan ambil hati.

Sebenarnya tak ada la panjang sangat. Saya pernah tulis lebih panjang daripada ini rasanya.

Cuma entri ini diselubungi kesedihan. Sekiranya tidak mahu rasa penat dengan bebanan emosi, usah teruskan pembacaan anda.

Ada kawan pernah menegur, “Kenapalah kau suka tulis panjang-panjang kat facebook tu? Letih aku nak baca.”

Jawapan saya, “Kalau nak tulis pendek, aku tulis di twitter.”

(Ini tipu, saya ada akaun twitter tetapi tak mahir menggunakannya)

OK, melalut lagi.

Petang tadi salah seorang rakan dalam whats app group menulis dia rasa akan mati malam ini. Dia minta kawan-kawan bacakan Al-Fatihah kalau dia meninggal dunia.

Panjang lagi umurnya setakat ini. Masih ada status online di whats app. Alhamdulillah.

Dia menghadapi masalah sehingga rasa mahu mati. Pernahkah anda rasa begitu?

Saya pernah rasa hidup ini seolah tak bermakna lagi. Pernah pecut motor laju-laju waktu itu dan berharap akan kemalangan atau meninggal terus.

Tak baik kan?

Saya terpengaruh dengan hasutan syaitan.

Waktu itu rasa tertekan. Padahal di Fakulti Perubatan saja. Menyesal waktu itu kenapalah aku belajar jadi doktor ni.

Mudahnya kita nak berputus asa sedangkan ada banyak lagi masalah besar di kemudian hari.

Selepas memasuki alam pekerjaan dan berhadapan dengan kematian, baru sedar masalah ini tak seberapa sebenarnya.

Hanya nampak besar kerana kita memandang masalah itu dari sudut yang sempit.

Tapi, janganlah pula kita perkecilkan masalah orang lain. Kecil pada kita, mungkin besar pada dia.

Masalah duit tampak kecil pada ketua jabatan tapi besar pada kerani pentadbiran.

Masalah kesihatan tampak kecil pada doktor tapi besar pada pesakit.

Masalah masa tampak kecil pada mereka yang bekerja sendiri di rumah tetapi besar pada wanita bekerjaya yang terkejar-kejar saban hari menguruskan kerja dan keluarga dalam masa yang sama.

Gagal peperiksaan?

“Alah, gagal exam jer kut. Bukannya kau sakit nak mati pun!”

Mana kita tahu, mungkin dia tak pernah gagal dalam peperiksaan sebelum ini. Jadi, pertama kali gagal seolah-olah perasaannya seperti mahu mati.

Maka, janganlah kutuk. Bagi kata-kata semangat.

“Boleh tu, cuba lagi. Usaha lebih kuat.”

“Doktor bolehlah, banyak duit, pangkat tinggi.” Itu ayat yang sering berkumandang di telinga.

Ya, saya tak nafikan. Duit ada, pangkat ada. Tetapi itukah yang menjadi kayu pengukur kebahagiaan?

Pandang apa yang kita ada, bukannya apa yang kita tiada.

Banyak lagi perkara dalam dunia ini yang boleh membuatkan kita bahagia sebenarnya.

Mana dia tahu saya bahagia kerana ada duit dan berpangkat sebagai doktor?

Pernahkah mereka tahu apa masalah saya?

Tidak kan.

Saya bukan hendak merungut. Cuma mahu kita berfikir. Masalah kita unik terhadap diri kita sendiri. Kita tak boleh bandingkan dengan memiliki apa yang orang itu ada, kita akan bahagia. Tidak semestinya.

“Doktor, saya tak mahu hidup lagi. Saya rasa hidup ni dah tak bermakna.” Ayat daripada seorang remaja yang dihantar ke jabatan kecemasan kerana cuba membunuh diri.

Punca ingin membunuh diri: putus cinta.

Dik, doktor pun rasa nak bunuh diri. Tapi kalau doktor tak berjaya dalam cubaan bunuh diri, doktor akan dibawa ke jabatan kecemasan dan dirawat di sana. Doktor tak mahu menjadi bahan gossip.

“Eh, kau tahu tak? Pesakit yang baru datang tu sebenarnya doktor. Suicidal attempt.”

“Kenapa doktor tu nak bunuh diri?”

Terbayang-bayang dialog itu jika doktor yang jadi pesakit, dik.

Akhirnya doktor batalkan niat. Membunuh diri dosa besar, dik.

Betul. Orang bunuh diri kerana rasa hidup ini sudah tak bermakna. Tidak ada apa lagi yang mahu dikejar dalam hidup ini.

Tetapi kita orang Islam, dik. Allah menjadikan kita untuk taat kepada-Nya.

Kalau rasa hidup ini sudah tak bermakna untuk diri sendiri, jadikan hidup ini bermakna untuk orang lain.

Kalau mahu bunuh diri, fikirkan orang tersayang yang akan menderita dan merana kerana kehilanganmu. Kasihan dengan mak bapak yang pasti sedih. Kawan-kawan sudah tentunya terperanjat.

Kalau sudah penat hidup untuk diri sendiri, hiduplah untuk orang lain. Lakukan apa yang mampu kita buat untuk membahagiakan orang di sekeliling kita. Kerjakan mengikut kepakaran kita perkara yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Selepas bekerja jadi doktor, baru sedar ada bagusnya saya jadi doktor. Sia-sia saya menyesal dahulu hingga tanam niat hendak jadi minah rempit.

Ilmu perubatan yang dipelajari ada faedahnya. Bukan untuk orang lain, untuk diri sendiri juga. Tak perlu asyik ke hospital atau klinik kalau jatuh sakit kerana memang tempat kerja di hospital.

Saya yang paling mudah jatuh sakit antara adik-beradik. Saya yang paling kerap dibawa ke klinik oleh orang tua saya dan warden sekolah semasa bersekolah asrama dahulu.

Minggu ini saya stress kerana sakit berulang. Hendak kerja pun serba tak kena. Ubat sudah ambil pun kejap reda, kejap tidak. Tambah stress kerana ada draf laporan kena hantar untuk kursus hujung minggu ini. Maka menaiplah saya walau ada branula di tangan. Sakit pun, kerja kena buat juga.

Tapi bila tengok orang lain yang sakit lebih teruk, cepat-cepat bersyukur pada Tuhan. Sekurang-kurangnya sakit saya tak seteruk pesakit-pesakit yang saya jumpa.

Itu hikmah Tuhan jadikan saya doktor kecemasan. Supaya berdepan dengan orang yang sakit lebih teruk dan orang yang meninggal dunia di depan mata. Saya menghargai apa yang ada. Walaupun sakit, tak seteruk mereka.

Lagi pun tak tahu bila hayat kita akan berakhir. Kalau boleh, tak mahu sakitkan hati siapa-siapa dalam hayat ini.

Kita manusia biasa. Kadang-kadang, mulut ini jadi ‘laser’ bila kita tengah naik hantu.

Jadi maafkan orang sekeliling. Minta maaf kalau kita ada buat salah.

Memang senang cakap daripada buat. Saya sendiri masih tak punya kekuatan hendak meminta maaf daripada seorang sahabat yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Saya sudah maafkan apa-apa juga kesalahan dia. Saya harap dia maafkan saya juga.

Hidup kita memang tak pernah putus dengan masalah. Tetapi masalah yang menguatkan jiwa kita. Sama ada kita mahu menyerah kalah dan berputus asa atau kita mahu terus bergerak ke depan dan menangani masalah yang hadir dalam hidup.

Tuhan tak pernah berputus asa dengan kita. Kenapa kita mahu berputus asa dengan rahmat-Nya?

Dalam setiap kegelapan, pasti ada cahaya di hujung jalan.

Kalau tak jumpa cahaya tu setelah puas berjalan, gunalah ‘torchlight’ supaya terang bersuluh jalan di depan.

Sahabat, jangan sedih-sedih. Setiap dari kita ada kesedihan masing-masing. Kongsi kesedihan jika tak mampu menanggungnya sendiri. Kerana itulah fungsinya sahabat. Menenangkan jiwa yang bergelora, mendamaikan hati yang merusuh.

P.S : Entri hari ini ditujukan khas untuk seorang sahabat yang bersedih petang tadi.

Friends till jannah….

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *