Skip to content

Ikut kata hati

Sabtu lepas, saya mahu ke tempat servis kereta. Saya pernah pergi sekali sahaja ke tempat ini. Jadi saya memang tidak ingat jalan ke sana. Itu pun saya menggunakan aplikasi Waze.

Saya dan geografi memang tidak serasi. Susah saya hendak mengingati jalan ke satu-satu tempat walaupun sudah beberapa kali saya pergi ke tempat yang sama. Sebab itu saya rajin menggunakan Waze.

Kali ini entah mengapa saya gagal menjumpai destinasi tujuan saya walaupun saya telah masukkan alamat penuh dalam waze. Saya dibawa Waze entah ke mana-mana.

Saya telefon ke kedai servis kereta itu untuk mendapatkan alamat penuh, mana tahu alamat mereka sudah bertukar. Tetapi pekerja di sana pun tidak dapat menerangkan alamat kedai mereka, hanya menyatakan kedai mereka berdekatan dengan Pusat Arena dan terletak di Kolombong. Pusat Arena apa pun mereka tidak dapat menyatakan dengan lebih lanjut. Hanya cakap, carilah di Kolombong.

Hampir satu jam lebih saya berpusing-pusing dengan Waze mencari destinasi. Namun saya gagal menemuinya. Akhirnya saya tekad untuk main redah, mahu ikut kata hati.

Saya bawa kereta ke arah yang saya rasa menuju ke Kolombong.

Kemudian saya nampak papan tanda menunjukkan arah Kolombong. Saya belok masuk. Di situ ada ’roundabout’ atau bulatan. Di negeri di bawah bayu ini jalannya memang kaya dengan bulatan.

Saya masuk ke pukul 12 dan memandu terus ke hadapan. Nampaknya bukan. Saya masuk ke pukul 3 pula. Jalannya tidak nampak macam pernah dilalui. Pun bukan. Tinggal satu jalan iaitu ke pukul 9. Saya berhenti dan bertanya orang di situ. Katanya masuk ke pukul 9. Hmm… betul la tu.

Saya masuk ke jalan pukul 9 dan akhirnya saya bertemu dengan tempat servis kereta yang dicari-cari.

Lega.

Adakalanya ikut kata hati itu lebih bererti.

Contohnya walaupun keputusan peperiksaan kita melayakkan kita masuk ke aliran sains tetapi hati kita meronta-ronta mahu masuk aliran agama.

Ibu bapa, guru-guru menyuruh kita ambil aliran sains kerana keputusan peperiksaan kita bagus. Tetapi jika kita bertekad mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, tidak salah untuk kita membuat pilihan tersebut.

Kerana kita yang akan menempuhinya. Susah senang kita yang akan menanggungnya.

Dalam kes saya memang tidak dapat hendak komen apa-apa kerana dahulu saya tidak ikut kata hati. Saya mengikut keadaan.

Saya kagum dengan mereka yang berani mengikut kata hati.

Oleh kerana dahulu saya tidak ikut kata hati, maka sekarang saya mahu melakukannya.

Saya ikut kata hati untuk meneruskan perjalanan saya dalam dunia penulisan. Dan saya ajak mereka yang berminat mengikut kata hati untuk bersama dengan saya dalam dunia ini.

Tepuk dada, tanya hati apa yang dimahukan.

Jangan takut apa kata orang.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *