Skip to content

HRMIS yang menguji kesabaran

Minggu ini berebut-rebut orang hospital mengisi borang SKT dan LNPT melalui online.

Sakit jiwa dibuatnya kerana terlalu ramai orang berbuat perkara yang sama dalam satu masa, maka ‘line’ jadi slow.

Rasa macam nak terkeluar mata merenung komputer dengan harapan ‘line’ laju tetapi tidak berlaku pun.

Memang HRMIS betul-betul menguji kesabaran.

Dahulu kala, saya cuma sibuk isi SKT sendiri. Kopi pasta (copy paste) kawan punya, kemudian diubah sesedap rasa mengikut kesesuaian diri.

Sekarang, bukan setakat isi SKT diri sendiri, malah harus menilai SKT orang bawahan.

Pening kepala juga bila melihat SKT mereka. MO senior yang sudah biasa isi memang tidak ada masalah. Tetapi MO junior yang mungkin pertama kali isi atau baru dua kali isi, agak huru-haralah juga.

Terserlah sangat kopi pasta mereka hingga tidak logik.

Saya emelkan kepada mereka supaya betulkan semula dengan isi yang lebih logik.

Pengajaran daripada SKT : Tidak salah mahu melihat contoh orang lain tetapi menirulah dengan bijak. Ambil dan ubah mengikut diri sendiri.

Piawaian diri kita mungkin tidak sama dengan orang lain.

LNPT pun buat saya gelisah. Gelisah bukan kerana apa. Kerana harus bagi markah pada orang.

Markah ini subjektif. Paling saya takut jadi berat sebelah atau pilih kasih. Mujur saya tiada anak emas. Semua MO sama pada saya. Tidak ada yang saya sayang lebih atau sayang kurang.

Yang saya sayang ialah Cikenet Crew… eh…

Pengajaran daripada LNPT : Bila ada kuasa, jangan salahgunakan kuasa. Kalau perlu beri markah, beri dengan jujur.

Berteleku saya depan komputer dengan SKT dan LNPT hingga ditegur oleh PPP. “Tiga hari ni, Dr Yati peminat setia SKT.”

Bukan minat tapi tanggungjawab bah. Kalau SK II boleh la jadi peminat setia.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *