Skip to content

Housemate mahu spa, aku mahu sofa

Hujung minggu ini saya tidak sihat tetapi memandangkan saya sudah menetapkan hasrat mahu membeli kasut dan rak buku, maka saya teruskan dengan niat tersebut.

Kasut kerja saiz 7 dibeli daripada Bata. Rasanya dahulu saya pakai saiz 5 atau 6, tetapi entah mengapa kali ini saiz 6 pun terasa sempit. Maka terpaksa memilih saiz 7 supaya kaki saya boleh bernafas, tidaklah rasa tersepit dan sakit.

Pulang membeli kasut, saya ke kedai perabot kerana mahu mencari rak buku. Rak buku yang sedia ada di rumah sewa di Sabah ini sudah tidak mampu menampung buku-buku yang ada. Saya sendiri tidak tahu bagaimana buku saya boleh beranak-pinak. Buku yang sedia dibawa dari Semenanjung belum dibaca, saya beli lagi buku-buku lain setiap bulan.

Ketika di kedai perabot, saya terpandang sebuah sofa mini yang menawan. Warnanya merah hitam, bukan warna kegemaran saya. Saya cuba duduk di sofa mini. Muat.

Sedapnya duduk di sofa mini hingga membuatkan saya tergerak hati untuk memilikinya. Saya bukanlah orang yang suka membeli barang sesuka hati. Susah untuk saya menyukai sesuatu barang tetapi kalau saya suka, saya benar-benar suka dan susah untuk melepaskannya.

Saya tidak membeli sofa mini itu terus sebaliknya saya hanya membayar untuk rak buku. Rak buku itu akan dihantar ke rumah pada keesokan harinya. Kata gadis penjual, jika saya berminat mahu membeli sofa mini itu, saya hanya perlu menelefon semula ke kedai dan mereka akan menghantarnya.

Malam itu saya berfikir sama ada mahu beli sofa atau tidak. Rakan serumah asyik mengajak membuat spa. Dia baru turun dari Gunung Kinabalu seminggu yang lalu. Maka dia teringin memanjakan diri dengan urut badan di spa. Dia mengajak saya membuat spa bersama dengannya.

Spa atau sofa?

Dia mahu spa.

Saya mahu sofa.

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli sofa mini yang berjaya menambat hati saya. Manakala rakan serumah saya pergi ke Jari-jemari Spa untuk membuat rawatan spa yang dikehendakinya.

Win win situation.

Masing-masing dapat apa yang dikehendaki.

Apa kaitan cerita ini dengan buku dan penulis?

Sebagai seorang penulis, tentukan genre apa yang anda mahu tulis. Usah terikut-ikut dengan orang lain.

Saya pilih motivasi dan penulisan kerana itu bidang yang saya suka dan saya boleh tulis. Saya gemar menulis cerita maka saya menulis cerpen dan Insya Allah pada masa akan datang menulis novel pula.

Sahabat saya Norsa’adah memilih kewangan sebagai subjek penulisannya kerana itu kekuatan beliau dan genre itu yang selesa ditulisnya.

Adakah kekuatan anda menulis novel atau buku bukan fiksyen?

Bagaimana mahu mengenalpasti genre pilihan kita?

Mahu menulis genre yang kita suka atau berdasarkan kepakaran kita?

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *