Skip to content

Hidup sehari lagi

Hari ini ialah hari di mana saya dilahirkan ke dunia. Sebenarnya saya tidak ingat akan tarikh ini. Terlupa, mahu melupakannya atau tidak penting. Saya tidak pasti yang mana satu jawapannya.

It’s not an important date to me anymore. Why? Only Allah knows.

Tetapi selepas 12 malam semalam, sudah ada orang yang mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Maka saya mengalah. Orang bergembira mahu memberi ucapan kepada saya, mengapa saya harus menolaknya. Doa daripada rakan-rakan dan keluarga yang menyayangi diri ini.

Pagi 2 Mac….

Seawal 7 pagi saya menerima panggilan telefon daripada MO menyatakan ada satu kes ‘myocardial infarction’. Keadaan pesakit tidak bagus.

Saya tidak dapat segera ke hospital, terperangkap dalam kesesakan trafik orang yang mahu ke tempat kerja.

Consultation over the phone.

Itu sahaja yang mampu dilakukan. Lagi pun saya percaya MO yang bertugas berupaya mengendalikan situasi kecemasan ini. Mereka sudah terlatih dengan kes-kes sebegini.

Sampai di hospital, keadaan pesakit tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

Streptokinase sudah habis diberikan. Tekanan darah semakin rendah. ‘Dopamine dan dobutamine infusion’ sudah maksimum. ‘Adrenaline infusion’ baru saja ditambah. Sakit dada pesakit masih tidak hilang-hilang. ‘ST elevation’ semakin mencanak.

Hanya PCI solusi seterusnya.

A risky transportation. Very risky.

Tetapi tidak ada apa-apa lagi yang mampu kami lakukan di Likas untuk pesakit ini. Kami tidak ada ‘cath lab’ di sini.

Saya mengambil keputusan untuk menemankan sendiri pesakit ke Queen Elizabeth 2 di mana terdapat kepakaran ‘cardio’ di situ. MO saya lagi suka saya pergi bersama.

Anak-anak pesakit saya kumpulkan. Saya terangkan keadaan ayah mereka yang kritikal. Empat orang anak lelaki. Dua daripadanya sudah menyapu air mata. Kata mereka, ayah tidak pernah menghidap apa-apa penyakit, cuma seorang perokok tegar. Saya minta mereka maklumkan pada adik-beradik yang masih belum sampai ke hospital.

Mujur jalan tidak sesak lagi. Kami sampai cepat di Queen Elizabeth 2. MO cardio sudah menunggu di lobi hospital. Pesakit dihantar ke ‘cath lab’.

Saya melihat pesakit buat kali terakhir sebelum meninggalkan ‘cath lab’.

Pesakit ini berhempas-pulas berjuang untuk hidup. Hidup sehari lagi. Hidup beberapa jam lagi. Ajal maut di tangan tuhan. Peratusnya di atas meja di cath lab hanya Allah yang mengetahui.

Saya pula masih bernafas. Hidup sehari lagi.

Hidup ini memang aneh. Maka jadilah kita manusia yang mengerti makna syukur.

Saya bersyukur. Hari ini hari lahir. Alhamdulillah saya sihat setakat ini. Buat pesakit ini, saya doakan yang terbaik untuknya.

Bersyukur kerana kita masih hidup sehari lagi.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *