Skip to content

Hero

Apa definisi hero bagi anda?

Hero. Seseorang yang anda pandang tinggi dalam hidup. Seseorang yang anda sanjung. Anda kagum dengannya. Orang yang memberi kesan dalam hidup anda.
Hero di sini bukan saya maksudkan superhero yang dimomokkan oleh mat saleh seperti Ironman, Superman atau Spiderman. Bukan juga Thor, Captain America atau Aquaman.
Ada hero yang tak didendang. Hero yang tak dipandang. Hero yang tak dikatakan hero. Tapi sebenarnya dia ialah hero.

Selepas menceburi bidang perubatan, baru saya sedar ada banyak hero dalam bidang ini. Bukan saja doktor, malah staf lain seperti PPP, jururawat, radiographer, ahli farmasi, hatta makcik pencuci tandas dan makcik Sedafiat.

Bukan senang untuk terus bekerja dalam keadaan tertekan dan melibatkan hidup mati seseorang. Jika tak betul-betul kuat, sudah lama staf kesihatan akan keluar dari hospital dan memilih kerja lain atau meletakkan jawatan.
Berdepan dengan satu kes yang melibatkan kematian cukup untuk membuatkan kita persoalkan diri kita. Adakah ini salah aku? Adakah pesakit ini akan hidup sekiranya aku melakukan hal yang berlainan pula? Atau jika dia dilihat oleh orang lain adakah dia akan terus hidup?
Tak pernah digelar hero ketika menolong mengurangkan kesakitan atau menyelamatkan mereka yang hampir di ambang maut. Namun dituduh pembunuh apabila orang dirawat menemui ajalnya. Fahamkah kesakitan itu?

Tak. Kamu tak akan faham.

Kami tak pernah minta digelar hero. Cuma jangan tekan kami keterlaluan, saman tak kena pada tempatnya. Hingga merosakkan keseluruhan hidup kami. Sedangkan yang kami mahu lakukan cuma menolong orang kesayangan kamu.

Adakah bekerja kerana duit saja? Sebenarnya tak juga. Jika tak ada kemahuan untuk menolong orang, kami akan pilih kerjaya lain pula. Bukan duit semata yang mengikat kami, namun tanggungjawab yang diberikan Tuhan adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan sebaiknya.

Idea menulis tentang hero ini tercetus apabila saya selasai membaca buku Adam Kay yang berjudul This Is Going To Hurt. Adam menceritakan pengalaman beliau ketika menjadi doktor junior.
Seronok membaca kisah beliau yang ditulis dengan nada bersahaja dan agak kelakar. Tapi perasaan lucu itu terhenti ketika sampai di kisah terakhir. Pengalaman yang dilaluinya yang kemudiannya menyebabkan beliau menamatkan kariernya sebagai doktor. Mungkin juga bukan itu faktor utama beliau tidak menjadi doktor lagi, mungkin ada faktor lain juga tapi pengalaman itu sangat memberi kesan terhadap dirinya.
Menjadi hero tidak mudah. Hero yang tidak dipandang. Hero yang tidak dijulang. Sebaliknya dipersalahkan apabila hal-hal buruk di luar jangkaan berlaku. Hero yang rasa bersalah walaupun itu bukan salahnya.

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *