Skip to content

Hargai apa yang kita miliki

 

Mudah untuk kita berkeluh-kesah dan merungut akan apa yang kita tidak ada.

Contoh mudah senario saya bekerja di Sabah sekarang.

Banyak perkara yang saya terlepas atau terpaksa lepaskan kerana berada di sini.

Antara perkara tersebut:

1. Big Bad Wolf (BBW)

Setiap tahun tanpa gagal saya pergi menghadiri BBW walau di mana juga ianya diadakan di Kuala Lumpur. Ketika itu saya bekerja di KL dan mudah untuk saya mengunjungi BBW dan membeli buku sebanyak yang saya mahukan.

Setelah berpindah ke Sabah, sekali pun saya tidak dapat hadir ke BBW lagi dan membeli buku sebagaimana kebiasaannya.

Saya cuma mampu memandang apabila ada iklan BBW dan rakan-rakan memborong banyak buku dengan harga yang murah.

2. Kursus penulisan

Ada pelbagai kursus yang ingin saya hadiri sama ada untuk menimba ilmu baru atau berkenalan dengan rakan penulis baru. Namun kekangan masa membuatkan hasrat saya tidak kesampaian.

Sukar untuk mengambil cuti atau membeli tiket kapal terbang setiap kali ada kursus penulisan yang dianjurkan.

Saya hanya dapat pergi beberapa kali saja setahun.

3. Kursus motivasi dan kecemerlangan diri

Selain kursus penulisan, kursus motivasi dan kecemerlangan diri antara kursus kegemaran saya. Kursus ini pun tidak dapat saya hadiri.

4. Mastermind Meeting bersama mentor dan rakan-rakan sekumpulan

Semasa berada di KL, saya tidak pernah terlepas mengikuti setiap Mastermind Meeting yang diadakan. Kehadiran saya penuh.

Bekerja di Sabah menyukarkan saya mengikut jadual Mastermind Meeting. Saya harus patuh dengan jadual kerja hakiki saya terlebih dahulu.

5. Peluang mengadakan bengkel atau kursus sendiri

Saya teringin memulakan kursus di mana saya bertindak sebagai speaker sama ada berseorangan atau berkoloborasi bersama teman. Namun masih belum dapat bermula dari awal lagi kerana jarak jauh yang memisahkan.

6. Berjauhan dengan rakan-rakan di Semenanjung

Sukar untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang rata-ratanya bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Adakah saya menyesal kerana dihantar bekerja ke Sabah?

Jawapannya tidak.

Saya memilih untuk melihat apa yang telah saya perolehi dan miliki di sini.

1. Bertemu dengan rakan baru dan sahabat lama

Saya menjalinkan silaturrahim dengan rakan-rakan yang baru dikenali di sini di hospital dan di luar hospital.

Saya menyambung ikatan persahabatan dengan sahabat lama yang dikenali semasa di universiti dahulu dan mereka merupakan rakyat negeri Sabah.

2. Meneroka tempat baru

Saya bekerja dan tinggal di Sabah di mana saya tidak pernah melakukannya dahulu. Sebelum ini saya pernah datang ke Sabah hanya untuk melancong dan melakukan aktiviti menyelam.

Saya berpeluang mengenali negeri Sabah dan rakyatnya, melawat tempat-tempat menarik di sini dan mengetahui adat dan kebudayaan orang Sabah.

3. Masa menulis buku

Saya berpeluang menulis buku dengan lebih produktif dan menerbitkan buku sendiri semasa bekerja di Sabah.

4. Rezeki lebih murah

Saya rasa rezeki saya lebih murah sejak saya berpindah bekerja di Sabah. Bila saya katakan rezeki, bukan bermakna duit sahaja. Rezeki itu dari segi ilham untuk menulis, masa untuk menulis.

5. Kurang tekanan kerja

Bekerja di sini saya akui kurang ‘stress’ berbanding semasa saya bekerja di Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Mungkin disebabkan persekitaran atau orang-orangnya, saya tidak dapat pastikan.

6. Masa melakukan aktiviti yang saya sukai

Saya boleh berenang, menyelam, masuk ke hutan, berjalan di tepi pantai.

7. Pengalaman baru

Saya berpeluang naik helikopter kerana urusan kerja. Kalau suka-suka, mahal bayaran yang dikenakan.

8. Berpeluang pergi ke majlis makan malam

Belum sampai dua tahun di sini, saya dapat menghadiri beberapa majlis makan malam. Di Semenanjung, entah mengapa asyik tidak berpeluang pergi ke majlis makan malam.

9. Lebih kerap berjumpa keluarga dan saudara-mara

Kata seorang makcik saya, dia lebih kerap dapat bersua muka dengan saya sejak saya bekerja di Sabah. Dahulu di KL, katanya saya sibuk dengan kerja sepanjang masa.

10. Merajinkan diri bersilat di dapur

Di Kuala Lumpur boleh dikira dengan jari berapa kali saya memasak di rumah sewa. Mudah mendapat makanan di tempat saya tinggal. Turun ke bawah rumah sewa saja sudah ada berderet orang berjualan makanan pada waktu petang.

Di Sabah, saya memasak kerana di bawah apartment saya tidak ada orang berjualan makanan.

Kalau mahu disenaraikan memang akan berpanjangan.

Hargai apa yang kita miliki walau sekecil mana pun perkara itu kerana kita tidak akan tahu betapa berharganya perkara itu apabila kita kehilangannya.

P.S: Status ini mahu memujuk diri sendiri kerana tidak dapat menghadiri Mastermind Meeting dan berjumpa Encik Mentor.

Saya tidak dapat pulang kerana ada kursus FRLS di Uitm hujung minggu.

P.S 2: Gambar di bawah, ketika saya sedang ‘medical standby’. Teruja dengan putihnya awan dan birunya langit serta geram tengok kolam renang yang memanggil saya untuk masuk ke dalamnya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *