Skip to content

Gila membaca

yat4 yat5 yat6

Puas hati saya dapat membaca beberapa buah buku dalam masa cuti di kampung halaman.

Masa saya terisi dengan membaca selain bermain-main dengan Miyul.

1. Proses kreatif: Satu Pengalaman Rohani oleh Abdullah Hussain

Buku yang menceritakan bagaimana Sasterawan Negara Abdullah Hussain mendapat ilham dan proses berkarya untuk novel dan cerpen beliau.

Buku ini membuat saya sedar setiap idea itu kurniaan Allah yang perlu dimanfaatkan. Jangan bazirkan ilham yang kita dapat.

2. Catatan Peristiwa Sastera oleh Ahmad Fadzil Yassin

Himpunan tulisan A.F. Yassin tentang dunia sastera, kemelut, pergolakan, peristiwa yang berlaku dalam dua dekad yang lalu.

Membaca buku ini membuat saya ingin menyertai seminar penggiat sastera, himpunan penulis. Ianya juga menyebabkan saya terkenang impian yang tak kesampaian iaitu menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR). Betul-betul teringin mahu turut serta dalam MPR tetapi tiada rezeki.

3. How to Quit You Day Job and Live Out Your Dreams oleh Kenneth Atchity

Kisah seorang ahli akademik yang merasakan gelaran profesor membuatkan dia semakin terperangkap. Dia memilih haluan untuk menukar kerjaya kepada pengarang, pengurus sastera, penerbit filem, penerbit buku dan jurulatih kerjaya. Dia menukarkan maklumat dan cerita kepada buku dan filem.

Baca kisah profesor ini buat saya berfikir berkali-kali, adakah saya terperangkap seperti dia. Namun jalan hidup tertulis saya berada di mana saya berada sekarang. Jika saya mahu mengambil tindakan sepertinya, perlu fikir lagi dan lagi.

4. BAD: Bertanya Allah Dahulu oleh Insyirah A

Buku yang memaparkan bagaimana dialog dengan Allah memudahkan hidup kita seharian. Pengalaman penulis dan mereka yang mengamalkan teknik BAD.

Selepas ini bertanyalah Allah dahulu dalam apa juga urusan kita. Bukannya selepas terhantuk, terngadah, buntu baru mahu bertanya pada Dia Yang Maha Berkuasa.

5. Esc. oleh Budak Tomato

Penulis menulis untuk berkongsi. Hidup ini ada pilihan. Apa yang mahu anda pilih?

Dakwah bukan melalui percakapan sahaja. Melalui tulisan boleh berdakwah dan buku dibaca jadi saham di alam sana.

6. Tarbiah Sentap oleh Adnin Roslan

Buku ini boleh buat pembaca sentap. Kalau tak sentap, hati tak rasa apa, risaulah hati kita mungkin sudah mati.

Buat baik tidak susah kerana ada caranya. Cuma kita yang rasa susah kerana sudah terbiasa dengan perkara yang tidak baik atau kurang baik.

Enam buah buku habis dalam masa empat hari. Bukan kuantiti buku yang penting sebenarnya tetapi kandungan setiap buku yang dibaca.

Buku-buku yang bagus meninggalkan kesan pada pembaca, buat kita rasa hidup bermakna.

Membaca buku-buku ini buat saya lebih gigih mahu jadi penulis yang menghasilkan karya yang bermanfaat kepada orang lain.

Saya tak mahu hasilkan ‘sampah’. Saya mahu jujur dalam menulis dan memberikan yang terbaik.

Bak kata Baha Zain: kejujuran dalam mencipta dituntut daripada penulis tetapi tidak ramai yang berjaya memenuhinya.

P.S : Kepada rakan-rakan penulis, mari kita lebih rajin menulis perkara yang baik-baik.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *