Skip to content

Gegaran gempa bumi di Sabah

Pukul 7.15 pagi tadi, saya sedang memandu kereta ke hospital. Tidak terasa apa-apa.

Sampai di hospital saya membaca whats app.

Gempa bumi?

Bila masa gempa bumi? Kenapa saya tidak rasa apa-apa gegaran?

Saya bertanya dengan staf kecemasan. Rupanya baru saja berlaku gempa bumi di Sabah dan gegarannya dapat dirasai.

Rata-rata menyatakan rasa takut walaupun wajah dipamer tetap tenang. Ya, dalam hati kadang-kadang kita tidak boleh baca isi hati orang.

Bila saya bertanya rakan serumah, katanya dia masih di rumah ketika kejadian gempa bumi berlaku. Gegaran dirasai lebih kurang 20 saat. Mulanya dia fikir dia pening kepala. Namun dia rasa OK saja. Bumi bergoyang, itu yang dirasakannya. Tetapi dia melihat rak buku di ruang tamu. Oh, tidak ada buku yang jatuh. Masih selamat. Dan dia mengambil masa untuk turun ke bawah.

Sampai di bawah apartment, sudah ramai orang berkumpul. Ada yang bertuala dan berseluar pendek sahaja. Nampaknya masing-masing menyelamatkan diri dengan apa yang ada di badan. Mujur tidak ada yang tidak berpakaian apa-apa.

Jujur saya katakan, bersyukur gegaran itu tidak kuat di KK. Bagaimana kalau gegarannya begitu kuat kerana saya sedang memandu kereta ketika itu.

Baru saja sedikit gegaran sudah terasa takut.

Adakah saya takut?

Sudah tentu takut. Saya bukanlah berhati kering yang tidak takut apa-apa.

Tetapi adakah dengan takut ini bermaksud saya harus mengemas barang dan terus balik ke Semenanjung, tidak mahu balik ke Sabah lagi.

Sudah tentu tidak.

Kehidupan harus diteruskan walau apa juga yang mendatang. Kerjaya saya sebagai doktor kecemasan di sini tidak boleh ditinggalkan begitu saja.

Gegaran gempa ini satu peringatan. Untuk saya berhati-hati dalam apa jua yang saya lakukan. Berhati-hati supaya saya tidak terus menambah dosa. Beringat supaya terus melakukan amal kebajikan selagi ada masa.

Meminta maaf kepada orang di sekeliling atas segala salah silap kita. Mana tahu ini ialah hari terakhir saya bertemu atau berbual dengannya? Atau ini hari terakhir dia bertemu dan berbual dengan saya?

Semoga kata-kata terakhir yang orang dengar daripada saya ialah kata-kata yang elok, bukannya maki-hamun atau kata-kata yang tidak menyenangkan hati. Hanya yang baik-baik saja yang keluar daripada mulut saya.

Menghargai setiap apa yang ada di sekeliling saya, walau sekecil mana perkara itu. Walau hanya air kosong. Kerana siapa tahu dalam keadaan huru-hara air kosong akan menjadi komoditi paling berharga mengalahkan emas dan wang ringgit.

Saya berdoa semoga mendapat pengakhiran yang baik.

Kepada rakan-rakan semua, doakan kami di Sabah.

Doakan semoga mereka yang tercedera atau terperangkap di tempat gempa, berjaya diselamatkan.

Doakan kami.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *