Balik ke kampung halaman, saya belek-belek barang yang ada di bilik. Dua buah fail hitam yang mengumpul habuk di atas meja saya capai.
Apakah isi di dalamnya?
Idea untuk cerpen dan karya saya.
Ilham daripada umur sejak sekolah rendah hingga zaman universiti. Menjejakkan kaki ke alam kerjaya, saya sudah berhenti mengumpul idea dalam fail.
Ya, ketika zaman menulis dengan menggunakan tangan dahulu, hampir segala yang ditulis akan dihimpunkan dalam fail. Bimbang hilang.
Bila ada masa, saya kembangkan jalan cerita dan menulis sehingga siap.
Proses menulis saya kira setiap orang tidak sama.
Untuk saya, catit idea. Dapat ilham bagaimana untuk menjadikannya sebuah cerpen, saya mula menulis. Terus menulis sehingga siap. Ada juga yang tak siap-siap sampai sekarang kerana buntu.
Sekarang, proses penyimpanan idea mungkin sudah berevolusi seiring peredaran zaman. Idea disimpan dalam Evernote atau Dropbox. Kebaikannya mudah diakses di mana-mana asalkan ada internet.
Saya buka iPad, ada aplikasi Evernote. Saya guna handphone pun kedua-duanya ada Evernote. Kerana sekejap saya menulis menggunakan iPad. Ada masanya saya taip dalam telefon bimbit.
Menyelak-nyelak halaman fail karya saya menyebabkan saya tersedar, banyak lagi idea yang belum disiapkan menjadi sebuah cerita yang lengkap.
Kalau mahu jadi penulis, simpan segala catatan ilham. Tidak kira dalam fail karya atau di alam maya. Kerana sebagai seorang penulis, idea dan karya kita ialah harta yang amat bernilai untuk diri kita.
Be First to Comment