Skip to content

Dokumentasi

Sewaktu bekerja memeriksa pesakit, doktor harus menulis sejarah kesihatan pesakit, apa yang menyebabkan pesakit datang ke hospital pada hari tersebut dan hasil pemeriksaan klinikal yang dilakukan. Selain itu penyiasatan sama ada ujian darah atau pengimejan, perawatan yang dijalankan ke atas pesakit dan perancangan selanjutnya perlu ditulis dengan sebaik-baiknya. Sama ada pesakit akan dimasukkan ke wad atau dibenarkan pulang ke rumah, semua itu harus direkodkan dengan sempurna.

Mengapa rekod ini penting?

Kerana ini akan menjadi rujukan pada doktor yang merawat pesakit seterusnya dan memudahkan penyiasatan semula jika ada masalah di kemudian hari. Contohnya jika kes mediko-legal di mana pesakit mahu membuat tuntutan insurans atau kes dibawa ke mahkamah, maka rekod pesakit di hospital amat penting.

Jika rekod pada fail pesakit tidak lengkap, ini akan menyukarkan keadaan. Sepuluh tahun lagi, mungkin rekod ini tetap akan dibuka dan dicari.

Begitu juga jika kita menulis sesebuah buku. Apa yang kita tuliskan pada masa sekarang akan menjadi rujukan untuk masyarakat zaman akan datang.

Bagaimana kita tahu suasana zaman perang yang berlaku dahulu sedangkan kita belum lahir pada waktu tersebut. Orang tua bercerita melalui mulut ke mulut kemudian ada yang merekodkannya dalam bentuk tulisan melalui buku.

Tiga Tahun Lapan Bulan.

Ini ialah salah satu buku kesayangan saya. Daripada buku ini, sedikit-sebanyak saya dapat membayangkan keadaan yang dialami masyarakat semasa zaman penjajahan Jepun. Malangnya saya tidak tahu di mana buku ini sekarang. Selepas banjir, buku ini hilang.

Tetapi apa yang menarik untuk saya ceritakan pada zaman saya?

Mungkin ada yang tertanya-tanya.

Bagi saya tulis saja dengan sebaik mungkin kerana apa yang kita lalui pada zaman sekarang mungkin tidak akan dilalui oleh golongan masa akan datang.

Contoh mudah, masih ada lagikah orang yang menggunakan kaset dan walkman sekarang?

Ada ke pelajar-pelajar sekarang bermain galah panjang, lempar selipar, susun tin dan cop tiang?

Adakah kita masih mengirim kad hari raya pada bulan puasa?

Mengapa tiba-tiba saya mengimbas masa silam? Kerana masa silam tidak akan berulang.

Disebabkan saya menulis diari semasa zaman sekolah menengah, saya boleh menghasilkan buku Diari Timin: Kehidupanku di KTAM. Apabila membaca diari saya, seperti baru semalam saya bersekolah di KTAM.

Tetapi menjejak ke alam universiti, saya sudah berhenti menulis diari kerana hambatan pelajaran dan kelas yang tidak berkesudahan. Jadi banyak kisah di universiti yang tidak muncul dalam ingatan saya.

Dua belas tahun yang lepas kami sama-sama tamat belajar di Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Hari ini kami berkumpul semula. Masing-masing sudah mempunyai kehidupan yang berbeza.

Bila berjumpa semula, terasa diri muda kembali. Ada kisah-kisah yang saya gagal ingat kerana tiada dokumentasi. Malah ada teman-teman lain yang disebut namanya saya tidak ingat langsung wajah mereka. Hendak mengharapkan ingatan semata-mata tidak mungkin.

Bagi adik-adik yang berada di bangku sekolah, menulis diari ialah satu latihan yang baik untuk menjadi penulis. Mana tahu, diari itu boleh menjadi sumber untuk penghasilan buku pada masa akan datang sebagaimana yang saya lakukan dengan Diari Timin: Kehidupanku di KTAM. Selepas 21 tahun, diari tingkatan dua saya ditransformasikan menjadi sebuah buku.

P.S : Kepada birthday girl dan rakan-rakan lain, kita tetap 18 selamanya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *