Skip to content

Doktor pun sakit

Hari ini hari ketujuh demam. Atau sebenarnya hari kelapan. Entahlah, sehingga terlupa kerana tidak mengira.

Kata orang, doktor ialah pesakit yang paling cerewet dan degil. Kadang-kadang tidak munasabah. Sukar menerima hakikat diri sendiri sakit dan perlukan rawatan. Benar atau tidak pernyataan itu, nilailah sendiri.

Ada dua jenis doktor bagi saya. Pertama, yang terlalu risau apabila sakit kerana ilmu kedoktoran yang dimiliki. Kedua, yang jenis tidak ambil kisah kerana dirasakan sakit itu tidak apa-apa.

Mungkin saya tergolong dalam jenis kedua.

Antara adik-beradik, saya yang paling mudah jatuh sakit. Ada saja alasan untuk ke klinik dan hospital semasa zaman sekolah dahulu. Hingga di asrama pun begitu.

Mungkin itu salah satu sebab saya jadi doktor. Mudah untuk merawat diri sendiri. Tidak cepat panik kalau berlaku apa-apa. Sekurang-kurangnya bila sudah bekerja, saya tidak perlu menghabiskan duit ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan apabila sakit.

Walaupun demam, Alhamdulillah masih boleh bekerja, boleh berfacebook. Urusan seharian berjalan seperti biasa. Selagi kaki masih mampu melangkah, selagi minda boleh berfikir dengan tajam.

Emak yang menelefon dapat mengesan perubahan suara. Kata emak, ambillah MC kalau tidak sihat.

Tidak mengapa emak, lagi sukar mengambil MC. Kadang-kadang lebih mudah bekerja daripada mengambil MC.

Lagipun minggu ini banyak agenda. Hari Isnin ada mesyuarat aduan. Tadi ada mesyuarat jabatan. Esok pula ada CME MO.

Memang dunia ini tidak akan berhenti berputar sekiranya saya ambil MC. Tetapi saya berasakan sakit itu tidak seteruk mana. Demam biasa, bukannya demam luar biasa.

Setiap sakit itu adalah ujian. Tanda Allah sayang kepada kita.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *