Skip to content

Doctor Stranger

Saya diperkenalkan dengan drama korea ini oleh WaWa Is. Menonton sepuluh minit episod pertama membuatkan saya ingin menonton sehingga habis.

Permulaan cerita adalah sangat penting. Sekiranya pembaca tidak tertarik dengan permulaan karya kita, pembaca tidak akan meneruskan pembacaan. Berhenti setakat di situ. Titik.

Menulis bahagian permulaan yang kuat tidak mudah namun tidak mustahil.

Selepas permulaan cerita yang kuat, jalan cerita pula yang harus diambil kira. Apakah cerita yang kita mahu sampaikan kepada pembaca?

Sudah lama rasanya tidak menonton drama Korea. Drama terakhir yang saya ingat saya tonton ialah My Girl.

Drama Korea merupakan salah satu cara untuk mempelajari bagaimana menulis cerita. Apa yang membuatkan orang ketagih untuk menonton drama Korea. Adakah disebabkan pelakonnya yang mempunyai paras rupa yang menarik atau jalan cerita yang bagus?

Dalam Doctor Stranger, watak utama iaitu Park Hoon digambarkan seorang doktor kardiotorasik yang mempunyai kemahiran yang mengagumkan walaupun masih muda kerana pengalamannya melakukan ribuan pembedahan sepanjang berada di bawah tahanan pihak tentera di Korea Utara.

Park Hoon terpisah dengan teman wanitanya, Jae Haee. Dia berazam mahu mencari teman wanitanya walau di mana dia berada. Ketika dia berjaya menemui Jae Haee, dia dikejutkan dengan kenyataan apabila perempuan itu tidak mengenalinya langsung. Adakah perempuan itu ialah Jae Haee atau perempuan yang berwajah seiras dengan teman wanitanya?

Apakah jalan cerita karya kita?

Adakah cukup setakat hero dan heroin saling membenci pada awalnya. Kemudian berlaku peristiwa demi peristiwa yang membuatkan perasaan benci bertukar jadi suka. Dan akhirnya mereka hidup bersama bahagia selamanya. The end.

Cukupkah setakat itu pembaca disogokkan dengan kisah dalam karya kita?

Permulaan cerita yang kuat tidak cukup seandainya isi di bahagian tengah kosong semata-mata. Permulaan cerita diikuti dengan pengisian yang menarik. Pembaca seronok menikmati pembacaannya. Pembaca terhibur dan ingin tahu kesudahan cerita.

Adakah Park Hoon betul-betul berjaya menemui Jae Haee dan mereka dapat bersama pada akhirnya?

Saya masih belum selesai menonton drama ini.

Pengakhiran cerita harus mantap dan meyakinkan. Barulah pembaca puas membaca dan tidak berasa tertipu. Tidak semestinya pengakhiran yang ‘happy ending’ walaupun hakikatnya kebanyakan pembaca suka apabila kesudahannya menggembirakan. Namun saya tak menafikan ada pembaca yang suka ‘ending’ di luar kebiasaan.

Saya pernah membaca syarat yang diletakkan oleh penerbit novel iaitu kesudahan cerita mesti disudahi dengan ‘happy ending’.

Realiti kehidupan kita di alam nyata yang penuh kepahitan dan kesedihan membuatkan pembaca menjadikan pembacaan buku dan novel sebagai salah satu jalan untuk melegakan tekanan dan menghiburkan diri. Sebab itu tidak mustahil penerbit memberi syarat penulis harus menulis pengakhiran yang menggembirakan.

Sebagaimana saya yang bekerja seharian berdepan dengan kematian dan kesakitan. Ini adalah perkara yang menyedihkan. Jadi apabila saya membaca novel, saya tidak mahu berasa sedih lagi apabila hero dan heroinnya tidak dapat bersatu. Saya mahu mereka bersama kerana di alam nyata, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Saya dalam kelompok yang suka pengakhiran ‘happy ending’. Kerana itu saya benci cerita Lives of Omission apabila heroinnya, Jodie tidak dapat diselamatkan oleh hero iaitu Laughing selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Maka ya, saya mahu Park Hoon menemui kebahagiaannya dengan bersama Jae Haee. Saya mahu penutup yang memberi kegembiraan kepada saya.

Kalau ada yang tak bersetuju, terpulang kerana rambut kita sama hitam tapi hati tetap lain.?

Published instetoskop & penTip penulisan

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *