Skip to content

Dia pernah berada di penjara

Ingat kisah kanak-kanak bukan warga yang meninggal dalam posting facebook saya sebelum ini….

Daripada siasatan yang dijalankan, saya melihat seputar kehidupannya yang tidak lekang dengan kesusahan.

Kesusahan itu barangkali subjektif. Dari kaca mata saya menilai kehidupannya sebagai satu kesengsaraan yang berangkai.

Dia bersama keluarganya di perkampungan rumah setinggan kerana mereka bukan pemegang kad pengenalan negara ini.

Apabila keluarganya ditahan pihak berkuasa, dia ditempatkan di penjara buat sementara waktu. Berapa lama, saya tidak pasti.

Anak sekecil itu sudah merasai pengalaman berada dalam penjara.

Ya, bukan kehendak dia pastinya. Dia masih mentah dengan kehidupan yang menghimpit mereka sekeluarga.

Saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke penjara. Tanggapan masyarakat, penjara itu satu tempat yang menakutkan. Penjara itu tempat mereka yang pernah membuat kesalahan. Namun, jika betul caranya, penjara itu boleh jadi tempat muhasabah diri. Tempat untuk kenal kembali Tuhan.

Namun sekecil dia, apakah kesalahannya….

Bukan salah dia lahir sebagai anak bukan warga. Ini ketentuan yang ditetapkan oleh Tuhan.

Selepas penjara, dia bertukar ke pusat penempatan bukan warga. Dia tidak memilih apa yang berlaku terhadap dirinya. Dia tidak berdaya untuk membela dirinya sendiri.

Apa yang saya tahu, dia cuma seorang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa.

Akhirnya dia terlepas dari sengsara di dunia dengan pergi menemui Tuhan.

Syukur itu susah untuk dilafaz jika kita tidak pernah merasai apa itu derita dan sengsara. Tetapi tidak perlu sampai berbuat silap hingga masuk ke penjara, baru kita mahu kembali kepada-Nya.

Cukup dengan melihat mereka yang tidak indah jalan hidupnya seperti dia dan bukan warga yang lain.

Sedang kita baru diuji dengan susah yang tidak sebesar mana, sudah mengeluh seolah-olah tiada jalan keluar. Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia tidak akan menguji dengan sesuatu yang kita tidak mampu tanggung.

Kisah anak ini akan saya kenang sampai bila-bila.

Tika saya mahu berputus asa dan menyerah kalah, saya akan ingat bagaimana dia berjuang untuk hidup sehingga nafas akhirnya walaupun begitu besar kesukarannya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *