Skip to content

Di mana anak saya

Teringat satu ketika di mana hujung minggu saya menghabiskan masa di kampung halaman. Emak muncul di pintu bilik dan bertanya kepada saya yang sedang bersantai membaca novel.

“Miyul mana?”

“Dengan mamanya kut.” Jawab saya.

Apabila diperiksa ternyata Miyul tiada bersama ibunya, adik saya Bibah. Bibah ingatkan Miyul ada dengan saya. Saya pula ingatkan Miyul dengan dia.

Rupa-rupanya Miyul sudah berjalan keluar dari rumah. Pintu rumah terbuka luas. Papanya yang sedang berada di luar perasan.

Mujur Miyul tidak sampai ke jalan besar lagi. Sedikit lagi mahu sampai ke jalan besar. Jalan besar yang penuh dengan kereta dan lori yang laju belaka. Jalan besar yang telah mengorbankan nyawa kucing dan manusia.

Semua orang mengurut dada. Berderau darah mengingatkan betapa bahayanya jika sesuatu yang buruk terjadi pada Miyul.

Kala itu menangis air mata darah pun tak ada gunanya.

Miyul selamat. Syukur Alhamdulillah. Kejadian ini menjadi peringatan kepada kami supaya lebih berhati-hati dan tidak alpa. Sentiasa perhatikan di mana Miyul berada.

Kisah ini tidak berakhir dengan happy ending untuk seorang pesakit yang dibawa ke hospital tempat saya bertugas.

Si ibu sibuk memasak di dapur. Dia tidak perasan anak lelaki bongsunya keluar dari rumah.

Siap memasak dia mencari anak. Tidak berjumpa.

Di mana anak saya?

Dalam hati sudah mula cemas.

Terdengar jeritan orang memanggil namanya. Dia bergegas keluar rumah. Tetapi apa yang terpampang di depan mata menghancurkan hati.

Tubuh anaknya kaku dalam pegangan jirannya.

Anaknya ditemui terapung dalam air. Rumah mereka di atas air. Mungkin anak itu terjatuh dan tidak disedari oleh sesiapa. Tidak tahu berapa lama sudah terjatuh ke dalam air.

Lekas mereka bergegas ke hospital. Kami CPR dan buat apa yang sepatutnya dilakukan. Namun Tuhan lebih sayangkan anak ini.

Anak lelaki tunggal yang disayangi sudah tiada.

Para ibu bapa, berhati-hatilah ya. Jangan sampai tertanya-tanya, di mana anak saya?

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *