Skip to content

Bukan saya tak nak datang

 

Anaknya tak sampai setahun lagi. Merengek-rengek dan menangis tak henti-henti. Ibunya memeluk dan menangis sama.

Merah melepuh badannya di bahagian hadapan. Lebih daripada separuh bahagian depan badan hingga ke bahu kanan. Di bahagian kanan, kesan melecur berwarna kehitaman. Berbau sedikit.

Ini bukan baru kena.

Rupanya semalam lagi terkena air panas. Pukul 10 malam semalam. Dibawa ke hospital pukul 12 tengahari hari ini. Sudah lebih 12 jam.

“Kenapa tak bawa hospital semalam lagi?”

“Sudah bawa ke klinik semalam. Dapat ubat. Pagi ni bawa lagi ke klinik tapi doktor klinik suruh pergi hospital.” Seorang perempuan di sebelah ibunya menyampuk.

“Maaf, anda siapa?”

Perempuan itu tampak kemas dan terpelajar. “Saya pihak NGO yang membantu dia.”

“NGO mana?”

“Kami NGO yang membantu keluarga banduan.”

“Siapa banduan?”

“Mendiang suaminya.”

“Ooo…” Panjang ooo saya.

Tak pernah saya tahu pula ada NGO yang membantu keluarga banduan. Pengetahuan baru hari ini.

“So mereka tinggal di mana?” Tanya saya merujuk kepada bayi itu dan ibunya.

“Mereka tinggal dalam satu kawasan sementara kami uruskan untuk penghantaran balik. Tengah tunggu dokumen dan keluarga di sana.”

“Ooo…”

“Bukan saya tak nak datang hospital tapi….” Ibu itu terhenti. Tak mampu meneruskan kata-kata.

Saya faham kegusaran hatinya. Dia bukan warga, tidak berani sesuka hati datang ke hospital kerana dia tahu dia tiada keistimewaan sebagai warganegara.

“Anak tidur ke semalam?”

“Tak boleh tidur. Sekejap-sekejap dia menangis, merengek.”

Sudah tentu. Sakit melecur begini, bagaimana dia mahu tidur dengan selesa.

Kita orang dewasa pun kalau terkena api di hujung jari pun sudah terlompat-lompat atau maki-hamun dalam hati.

Apatah lagi seorang bayi kecil menahan kesakitan. Hanya mampu meluahkan dengan tangisan.

Bayi itu tidur nyenyak setelah diberikan ubat penahan sakit. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sepanjang malam dia bergelut dalam kesakitan.

Kesan melepuh di badan dibersihkan agar tidak mengakibatkan jangkitan kuman.

Pedih hati seorang ibu melihat anak yang berada dalam kesakitan. Siapa kita untuk menilai tindakannya. Dia tersepit antara statusnya sebagai bukan warga dan sebagai seorang ibu.

NGO ini bermurah hati untuk menyelesaikan bayaran kemasukannya ke wad.

Saya bersyukur saya warga Malaysia.

Memang tidak ada yang sempurna tapi sekurang-kurangnya kehidupan kita sebagai warga Malaysia jauh lebih baik dari mereka yang bukan warga.

Lebih baik kita melihat kelebihan yang kita miliki daripada kita sibuk menghitung kekurangan yang ada.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *