Skip to content

Budi

Pisang emas dibawa belayar

Masak sebiji di atas peti

Hutang emas boleh kubayar

Hutang budi kubawa mati

Indah berseni pantun orang dahulu. Penuh simbolik. Bahasa yang tersusun. Halwa telinga yang enak.
Masih adakah pertandingan pantun untuk budak-budak sekolah zaman sekarang?

Budi.

Satu perkataan yang membawa erti besar.
Hidup biar berbudi pekerti. Berbudi bahasa. Bila orang berbudi kepada kita, ingat. Bukannya buat tak tahu atau menjadi orang yang lupakan daratan. Tak kenang jasa.

Siapa yang pernah menabur budi dalam hidup kawan-kawan?

Bila diteliti kembali, saya terhutang budi dengan ramai orang dalam hidup ini.

Ahli keluarga, rakan-rakan. Malah dengan orang yang tak dikenali tapi ikhlas menolong tatkala kita dalam kesusahan.
Bagaimana hendak membalas budi?

Jujurnya, tak terbalas budi orang pada kita. Jangan risau, ada caranya. Dengan cara kita berbudi pada orang lain pula.
Pay it forward.

Katakan kita pernah dibantu seseorang dengan duit bernilai sekian-sekian. Contohnya bapa saudara menyara pembelajaran kita kerana kita tak mampu melanjutkan pelajaran dek kekangan kewangan. Ibu bapa kita tak mampu. Maka bapa saudara tampil untuk menaja perbelanjaan pembelajaran kita hingga kita tamat belajar.

Bapa saudara enggan menerima duit bayaran apabila kita sudah bekerja kerana katanya dia ikhlas mahu menolong.
Kita boleh menolong orang lain pula. Kerjaya yang dimiliki sekarang membolehkan kita menghulurkan bantuan kepada anak miskin atau anak yatim piatu yang lain.
Cikgu mengajar anak murid dengan ikhlas mahu melihat anak murid berjaya dalam peperiksaan. Berjaya dalam kehidupan. Anak murid yang diajar sekarang membesar menjadi seorag guru pula. Anak murid itu terkesan dengan didikan ikhlas gurunya, memberi inspirasi kepada dirinya untuk menjadi seorang pendidik. Dia mengajar anak muridnya dengan penuh semangat. Mendidik anak bangsa sepertimana gurunya mendidiknya dahulu.

Kitaran itu akan berterusan. Sekiranya semua orang mengenang budi, dunia akan harmoni. Tiada peperangan, tiada pergaduhan, tiada permusuhan.

Hari ini, budi siapa yang mahu kita balas?
Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *