Sebelum itu elok saja Miyul bermain dengan saya. Diagah-agah dia gelak besar. Tiba-tiba entah apa yang saya sudah buat, dia marah.
Dia menolak saya sekuat-kuat tenaga. Menolak saya keluar dari toto yang kami sedang duduk. Ingatkan cukup di situ.
Dia masih tidak berpuas hati. Dia menolak saya lagi. Tolak saya hingga saya terkeluar dari bilik saya sendiri.
“Miyul, kenapa marah sangat dengan Mak Ngah ni?”
Saya tak tahu apa yang dia marahkan sangat dengan saya. Wajahnya masam sambil dia menolak saya.
Kalau la saya boleh baca isi hati orang.
Hmm…
Isi hati orang memang tidak dapat kita teka. Hanya Allah yang mengetahui.
Kerana tidak dapat membaca isi hati orang, saya kehilangan seseorang setahun yang lalu.
Adakah saya menyesal dengan apa yang berlaku? Tidak.
Setiap kejadian yang Allah datangkan ada hikmahnya. Mungkin perkara itu buruk atau malang pada kita. Tetapi sebenarnya tidak ada perkara yang buruk.
Buruk itu persepsi kita. Malang itu tanggapan kita terhadap apa yang berlaku.
Bagaimana kita mentafsirkan apa yang berlaku.
Pada awalnya saya tidak begitu rela untuk bekerja di Sabah. Saya terpaksa ke sini kerana tuntutan kerja.
Tetapi bila sudah berada di sini, saya seronok bekerja. Saya ada masa untuk membaca dan menulis. Kedua-dua aktiviti yang saya sukai.
Mencari hikmah di sebalik perpindahan kerja ke sini. Memang banyak hikmahnya.
Sedar tak sedar sudah hampir satu setengah tahun saya berada di sini. Disember ini genap dua tahun.
Saya ingatkan bekerja jauh di sini akan merenggangkan hubungan dengan Miyul. Tetapi tidak. Kejauhan itu yang mendekatkan.
Hampir setiap bulan saya akan berjumpa dengan dia.
Moga Miyul membesar menjadi anak yang soleh dan insan yang berguna.
P.S : Baru beberapa hari berpisah sudah merindui Miyul.
Be First to Comment