Skip to content

Bila hati sedih

Turun daripada kapal terbang, saya menerima panggilan daripada MO tentang seorang pesakit yang saya lihat petang tadi.

Ada masalah sedikit.

Hmm… sudah melangkah keluar dari tempat kerja pun tak semestinya habis kerja.

Penatnya bersedih. Terbawa-bawa dengan ingatan terhadap pesakit itu. Terfikir-fikir.

Hingga fikir terlalu jauh. Kenapalah aku buat kerja ini.

Tahu, tak baik fikir begitu. Tetapi memujuk hati tak semudah menghentikan bom yang mahu meletup. Sama sukar atau lebih susah?

Adik-adik yang mahu jadi doktor, fikirlah banyak kali sebelum mahu jadi doktor.

Kalau betul-betul mahu jadi, kuatkan semangat dan cekalkan hati ya.

Saya tahu ramai pelajar perubatan yang jadi kawan facebook saya sekarang.

Saya bukan hendak melemahkan semangat kamu semua. Saya cuma mahu kamu bersedia lebih awal.

Bersedia untuk patah hati. Bersedia untuk sentiasa rasa sedih, tertekan dan ada masanya rasa tak berdaya kerana tak mampu untuk berbuat apa-apa lagi.

Ya, ada masanya anda rasa gembira, rasa terharu apabila dapat menolong orang. Tetapi ada masanya anda akan rasa sedih.

Itu hakikat.

Saya tak mahu memberi gambaran semuanya indah. Semuanya akan berakhir dengan kegembiraan sepertimana cerita dongeng. Happily ever after.

No. Itu hanya dalam cerita Cinderella.

Seorang kawan memberitahu bagaimana dia berasa tidak berdaya (helpless) apabila pesakitnya meninggal dunia sewaktu pembedahan (death on table).

Pesakit yang datang boleh bercakap dan bercerita apa yang terjadi kepadanya. Dia dirompak dan ditikam di bahagian dada. Masih sedar sehingga sebelum dibius untuk pembedahan.

Apabila dada dibuka, ternyata kecederaannya parah. Dia akhirnya tidak dapat diselamatkan.

Saya faham kesedihannya. Kerana itu yang saya lalui saban hari di jabatan kecemasan apabila CPR dan resuscitation yang kami lakukan tidak berjaya.

Saya berjalan lambat-lambat di lapangan terbang KLIA2. Lapangan terbang yang penuh dengan orang ini terasa kosong bagi saya. Sekosong hati saya.

Sehinggalah saya terpandang seorang yang berjalan di depan saya dengan ‘crutches’.

Lelaki itu duduk di kerusi paling hadapan di dalam kapal terbang Air Asia yang kami naiki. Saya perasan dia masih duduk di kerusinya semasa kami berpusu-pusu keluar dari kapal.

Dia berjalan dengan ‘crutches’ di depan saya. Saya perhatikan dia. Rupa-rupanya kaki kirinya hanya separas lutut.

Allahuakbar!

Saya pandang kaki saya.

Allah hendak bagi peringatan pada saya.

Saya bersedih sebab kerja. Sedangkan nikmat kehidupan yang lain masih banyak. Saya masih diberi nikmat kaki.

Secepat itu Allah hendak memujuk saya. Supaya saya tidak terlalu hanyut dalam kesedihan.

Supaya saya bersyukur. Supaya saya terus sedar bahawa saya boleh melakukan yang lebih baik dalam kerja dan dalam kehidupan saya.

Allah sayang pada hamba-Nya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *