Skip to content

Bila doktor jadi babysitter

Hendak tergelak saya melihat MO saya semalam. Dia memainkan peranan sebagai babysitter kepada dua orang anak kecil.

Anak-anak kepada pesakit yang sedang dalam rawatan, di bawah pemerhatiannya. Pesakit itu, seorang perempuan lingkungan umur 40-an mengadu sakit dada. Sementara menanti keputusan pemeriksaan darah, pesakit dipinta berehat di atas katil.

Dia datang bersama anak-anak menaiki bas. Suaminya sudah meninggal dunia.

Sudah namanya kanak-kanak, mereka tidak boleh duduk diam. Ke sana sini, asyik mahu bercakap dengan emaknya yang sedang sakit. MO saya mahukan pesakit betul-betul berehat.

Memandangkan tidak ada pesakit lain pada waktu itu, MO saya mengambil alih penjagaan kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Mulanya dia buat kelas melukis. Puas melukis, budak-budak itu mengadu lapar. Setelah dipastikan dengan emaknya, kedua-dua anaknya tidak mempunyai apa-apa alahan terhadap makanan, dia membawa mereka berdua ke kantin.

MO saya membelikan makanan untuk budak-budak tersebut.

Seorang berumur 3 tahun, seorang lagi dalam lingkungan 6 tahun. Yang 6 tahun sudah pandai makan sendiri. Yang umur 3 tahun, suap nasi dengan sudu tapi jatuh ke lantai. MO saya tidak sampai hati melihatnya. Dia pun menyuapkan budak berusia 3 tahun itu makan.

“Anak saudara saya sendiri pun saya tak pernah suap lagi.” Kata MO kepada saya.

Setelah kenyang makan, barulah budak-budak itu boleh duduk diam di kerusi yang disediakan.

Ya, doktor bukan sekadar jadi doktor. Banyak peranan lain lagi sebenarnya. Dalam hal ini, menjadi pengasuh budak salah satu tugasan yang dijalankan. Kebetulan tidak ada pesakit lain pada waktu itu. Dan pesakit yang ada dilihat oleh doktor lain yang bertugas sama.

Ada masanya doktor sebagai kaunselor. Pesakit bukan datang dengan kecederaan fizikal. Lebih pada mahu bercerita atau meluahkan perasaan. Terutamanya orang tua yang berasa dirinya terabai kerana anak-anak sibuk bekerja mencari rezeki.

Anak-anak muda yang putus cinta ambil tindakan singkat mencederakan diri sendiri atau menelan ubat berlebihan kerana terlalu kecewa. Doktor jadi tempat mencurahkan kesedihan.

Ada isteri yang berkongsi masalah kerana tidak diperlakukan elok oleh suami yang disayangi. Walaupun doktor yang merawat masih bujang, belum ada pengalaman seperti orang yang sudah berumahtangga, namun boleh menawarkan pertolongan dengan mendengar dan memberi jalan penyelesaian. Meskipun tidak semestinya diturutkan.

Kerana kita boleh menasihati isteri yang didera supaya membuat laporan polis, tetapi ada di antaranya enggan berbuat demikian kerana sayangkan suami. Tidak sanggup membuat laporan terhadap suami sendiri yang memukul dirinya. Alasannya mahu jadi isteri mithali.

Lebih 10 tahun saya sudah berada dalam profesion ini, doktor bukan sekadar doktor. Doktor boleh jadi apa saja. Bukan setakat merawat pesakit, jadi kaunselor pelajar, kaunselor perkahwinan, pengasuh dan lain-lain lagi.

P.S : Bila saya cakap doktor boleh jadi apa saja, tidak bermakna saya setuju dengan doktor yang terlibat dengan skim cepat kaya dan doktor yang mempergunakan gelaran DR untuk mempromosi suplement yang didakwa boleh menjadi penyembuh kepada 100 jenis penyakit.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *