Skip to content

Best ke jadi doktor

AMARAN : Posting ini panjang berjela. Kalau ada kesabaran, boleh baca sampai noktah akhir. Kalau rasa tak sabar, tak payah mula baca pun.

Saya dapat soalan ini agak kerap. Maka saya jawab kali ini.

Bila orang tanya, best ke jadi doktor. Biasanya saya senyum saja.

Kalau yang bertanya itu pelajar perubatan, jawapan saya panjang.

Best jadi doktor sebab gaji tinggi.
Best jadi doktor sebab orang hormat, orang pandang tinggi kerjaya ini.
Best jadi doktor sebab kerja boleh rehat, goyang kaki.
Best jadi doktor sebab tulis macam cakar ayam pun, orang boleh faham.
Best jadi doktor sebab kerjanya mudah, tak susah.

Betul ke saya jawab macam jawapan di atas?

Sudah tentu jawapannya tidak.

Semua di atas bukan jawapannya.

Best jadi doktor sebab gaji tinggi.

Betul, gaji doktor tinggi berbanding pekerjaan lain. Tapi ada banyak lagi pekerjaan lain yang gajinya jauh lebih tinggi.

Kemudian bergantung juga sama ada kerja di sektor kerajaan atau swasta. Di sektor swasta, memang boleh dapat gaji berpuluh ribu ringgit kalau sudah bergelar pakar.

Kalau mahu gaji tinggi, tak perlu susah-payah belajar lima tahun undergraduate untuk dapat title DR. Buat pekerjaan lain yang boleh bagi pendapatan yang lebih dalam masa yang lebih singkat.

Best jadi doktor sebab orang hormat, orang respect.

Itu dahulu. Cakap kita doktor, masyarakat pandang tinggi. Zaman dah berubah. Masyarakat sekarang ada yang tak menghormati doktor lagi. Malah bersikap lebih tahu tentang ilmu perubatan daripada doktor yang dah belajar bertahun-tahun.

Segelintir anggota masyarakat sekarang, dalam fikiran mereka, gaji doktor mereka yang bayar. Maka mereka berhak cakap doktor ni perlu ikut cakap mereka sebab mereka yang keluarkan duit untuk bayar gaji doktor. Alasannya mereka bayar cukai. Itulah duit yang digunakan untuk bayar gaji doktor.

Mereka tak tahu atau buat-buat tak tahu, doktor pun bayar cukai. Entah-entah cukai yang doktor bayar lebih tinggi lagi daripada orang yang asyik kata mereka bayar gaji doktor.

Best jadi doktor sebab kerja boleh rehat, goyang kaki.

Betul ke jadi doktor banyak rehat dan boleh goyang kaki?

Tengok pada keadaan dan tempat juga la. Kalau kerja di tempat yang kurang pesakit dan tak banyak kerja, bolehlah curi masa rehat sedikit.

Kebanyakan hospital dan klinik sibuk memanjang. Penuh dengan pesakit 24 jam.

Ada masanya mahu pergi tandas pun terpaksa tahan-tahan. Makan jangan cakaplah. Doktor ni pandai nasihatkan orang supaya jaga makan, tapi diri sendiri tak terjaga. Lupa nak makan minum kerana terlalu sibuk hendak uruskan pesakit dan siapkan kerja yang ada.

Best jadi doktor sebab tulis macam cakar ayam pun, orang boleh faham.

Saya rasa kalau tulisan kita sejak azali memang dah buruk, tak perlu jadi doktor pun memang dah sedia macam cakar ayam. Tak semestinya jadi doktor tulisan serupa cakar ayam.

Bagi saya alasan kenapa tulisan doktor macam cakar ayam, kebanyakan masa doktor nak cepat-cepat, maka tulis cepat-cepat. Bila tulis cepat-cepat, tak dapat tulis cantik-cantik, jadilah tulisan macam cakar ayam.

Saya ada kenal kawan-kawan doktor yang tulisannya cantik. Jadi mitos semua tulisan doktor macam cakar ayam adalah tidak tepat. Ada saja doktor yang lawa tulisannya.

Best jadi doktor sebab kerjanya mudah, tak susah.

Tidak ada kerja di dunia ini yang mudah atau tak susah. Setiap kerja ada cabarannya sendiri.

Kalau suruh saya jadi ahli bomba pun, saya rasa payah. Kena berani berdepan dengan api yang panas.

Jadi polis, bergadai nyawa melawan perompak. Jadi nelayan, harus cekal hati menempuh ombak laut yang bergelora.

Jadi cikgu, kena tahan tekanan perasaan sebab ada budak-budak sekolah sekarang yang suka melawan cikgu dan emak bapak pun asyik hendak menangkan anak-anak mereka yang katanya macam malaikat di rumah.

Jadi, kalau semua tak best, apa yang bestnya jadi doktor?

Hmm… apa yang best ya jadi doktor?

Best jadi doktor sebab kita dapat kenal pelbagai golongan manusia dan berdepan dengan bermacam-macam kerenah orang.

Adakalanya kita rasa macam tak masuk akal, tapi hakikatnya ada berlaku.

Best jadi doktor kerana dapat mendidik kita menjadi insan yang banyak bersabar. Memang susah untuk bersikap sabar apabila kesabaran itu sudah di hujung-hujung kuku namun ada masanya itu saja pilihan yang kita ada.

Kita tak boleh naik darah atau maki hamun pesakit semula sebagaimana yang mereka lakukan pada kita. Kita senyum dan buat bodoh. Paling tidak pun, kita berlalu pergi sebelum kita sendiri bertukar menjadi Incredible Hulks.

Best jadi doktor bila pesakit yang kita rawat hilang kesakitannya dan mampu tersenyum semula. Lebih best bila mereka ucap terima kasih sebelum pulang walaupun kita tak harap ucapan itu.

Best jadi doktor bila keluarga pesakit berlapang dada menerima hakikat kematian orang tersayang kerana mereka tahu kita telah usahakan yang terbaik untuk pesakit. Pada akhirnya Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Best jadi doktor bila kita mengetahui kisah-kisah sedih pesakit.

Makcik ni sakit dada kerana anaknya hilang sudah sebulan tak dapat dihubungi. Bayi ini ditinggalkan di bawah jagaan neneknyan oleh ibunya yang sudah berkahwin lain, manakala bapanya sudah menghilangkan diri dari awal lagi.

Pakcik ini datang ke hospital setelah teruk sakitnya kerana tahu dia bukan warga Malaysia, tak mampu bayar untuk rawatan. Maka, dia tahan saja sakitnya di rumah sehingga dia tidak boleh bertahan lagi.

Bila tahu cerita kehidupan pesakit, buat kita bersyukur dengan kehidupan sendiri. Walaupun kita. bukan dari keluarga senang, emak bapak masih mampu bagi kita makan minum dan hantar kita pergi sekolah hingga berjaya jadi doktor.

Kita masih tak kahwin lagi tapi masih ada emak bapak, adik-beradik serta kawan-kawan yang sayangkan kita.

Kita tak pernah fikir akan susahnya kehidupan sehingga kita berjumpa dengan pesakit yang kehidupannya jauh lebih daif dan menyedihkan.

Masalah kita cuma tak dapat pergi ke Legoland kerana tiket mahal sangat. Sedangkan di luar sana, ada orang yang berhempas-pulas cari duit untuk makan setiap hari.

Best jadi doktor kerana kerjaya ini buat kita sedar kita hanya manusia yang tak punya apa-apa. Hampir setiap hari ada pesakit yang meninggal dunia. Walau apa pun yang kita lakukan, sudah tersurat ajalnya detik itu. Ianya buat kita akur dengan kuasa Tuhan yang Maha Esa. Kita hanya merancang dan berusaha, Tuhan yang menentukan.

Best jadi doktor kerana kita tahu satu perkara yang pasti dalam hidup ini.

Kematian itu pasti. Setiap yang hidup akan mati.

Kerjaya ini buat kita beringat-ingat supaya tidak ligat memburu harta duniawi sedangkan yang kekal adalah alam akhirat. Apa-apa yang kita kerjakan niatkan supaya jadi ibadah sebagai bekalan untuk di alam sana.

Best jadi doktor kerana buat kita sedar. Walau siapa pun diri kita, pangkat profesor, gelaran Tan Sri atau Datuk, harta berjuta sekali pun tidak dapat membantu kita apabila kita sudah terlantar sakit di atas pembaringan. Waktu itu kita baru tahu, kesihatan satu nikmat.

Beramal sebelum tak sempat. Mengucap sebelum terlambat.

Lepas habis panjang lebar ni, apa kesimpulan yang kamu semua dapat?

Best ke tak best jadi doktor?

Jawab sendiri la ya adik-adik pelajar perubatan.

Sebenarnya yang menentukan best ke tak best jadi doktor ni adalah diri kita sendiri. Pokok pangkalnya hati kita. Kalau kita kata best, jadi la best. Kalau kita rasa tak best, tak best la jadinya.

Apa juga pekerjaan yang kita lakukan, yang penting kita rasa bahagia dan rasa best melakukannya. Yang penting, kerja itu jadi ibadah. Kerja itu membolehkan kita kumpul lebih banyak saham akhirat.

Kalau pun saya berhenti daripada kerjaya ini suatu hari nanti, bukan kerana saya rasa jadi doktor tak best. Mungkin saya sudah jumpa pekerjaan lain yang lebih best dan buat saya lebih gembira.

P.S : Gambar ni sewaktu kami baru habis syif kerja. Saya kagum dengan sahabat saya ni. Dia tetap datang bekerja dengan tongkat kerana kakinya sakit waktu itu. Saya tidak ingat apa sakitnya tapi berhari-hari juga dia datang kerja dengan tongkat satu.

Kami tak cukup doktor rasanya pada masa itu hingga dia bekerja walaupun dalam keadaan kaki tak OK. Sepatutnya dia berehat di rumah agar kakinya cepat sembuh. Tapi kerana dia seorang doktor yang hebat, dia datang juga bekerja. Kata dia, masih boleh berfikir dan tangan masih boleh menulis.

Saya tabik dia. Tak hairanlah sekarang dia merupakan salah seorang Ketua Jabatan Kecemasan di salah sebuah hospital di Malaysia.

Saya bukan hendak promosi sahabat sendiri. Saya cuma hendak beritahu, di saat kiri kanan orang kutuk doktor macam-macam, masih ramai lagi doktor yang sanggup berkorban untuk pesakit walaupun diri sendiri tidak berapa OK.

P.S 2: Stress saya tengok gambar sendiri suatu ketika dahulu (tidak berisi seperti sekarang)

Eh, panjang pula PS saya. Cukuplah dahulu. Penat kamu orang baca.

‪#‎stetoskopdanpen‬

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *