Skip to content

Bermulanya dari buku

sat du

Macam mana saya berminat hendak menjadi penulis?

Bermulanya dari buku yang dibaca. Bukan sebuah buku tetapi saya sendiri tidak mengira berapa banyak buku yang dibaca hingga membuatkan saya menyimpan hasrat untuk melihat nama sendiri tercatat di luar kulit buku.

Pada waktu itu saya berangan-angan. Alangkah gembiranya jika saya dapat melihat nama saya tertera di kulit buku sebagai penulis buku tersebut.

Angan-angan akan tinggal sebagai angan-angan jika tiada usaha.

Di sini bezanya angan-angan dan impian. Impian akan memacu kita untuk bekerja keras menjayakannya.

Semasa di bangku sekolah, setiap tahun saya mendapat hadiah buku sama ada daripada pihak sekolah, ibu bapa atau saudara-mara.

Ya, waktu itu tidak ada hadiah lain yang saya dapat. Tidak ada hadiah gajet-gajet, pakaian atau permainan.

Hanya buku, buku dan buku.

Buku dahulu pun murah tak seperti buku sekarang.

Buku cerita Enid Blyton boleh didapati dengan harga RM3.90. Kalau ada tawaran, boleh dapat dengan harga RM2.90.

Setiap kali dapat buku, saya akan tulis tarikh saya perolehi buku tersebut dan tulis nama saya di atas buku. Jadi, jika ada orang meminjam buku mereka tahu kepada siapa perlu dipulangkan buku yang dipinjam.

Sebenarnya susah untuk saya pinjamkan buku kepada orang lain kerana bimbang dihilangkan. Saya kedekut orangnya kalau melibatkan buku. Cuma bila sudah dewasa ini, baru sikap kedekut buku itu berkurangan.

Dahulu, saya siap cop nama pada buku-buku saya. Saya minta ayah buatkan cop nama agar saya boleh cop nama pada buku.

Sepertimana buku Rumah di Selekoh ini saya dapat pada 3 Ogos 1991. Semasa saya dalam darjah enam. Buku ini dterbitkan pada tahun 1988. Saya sayang sangat dengan buku ini.

Rumah di Selekoh dan Pulau Rahsia. Antara buku yang menjadi kesayangan saya.

Dalam Rumah di Selekoh, saya suka dengan watak Noni. Dia seorang yang pemalu, tidak yakin dengan dirinya sendiri. Sentiasa merasakan dia tidak secantik atau sebijak kakak dan abangnya, Milah dan Badin.

Nek Ngah menyedari Noni mempunyai bakat menulis yang terpendam. Nek Ngah menggalakkan Noni menghantar tulisannya ke majalah.

Percubaan pertama Noni gagal, malah usahanya ditempelak oleh Badin dan diketawakan oleh Milah. Namun berkat pujukan Nek Ngah, Noni kembali menulis dan percubaan seterusnya berjaya.

Bagi saya watak Noni amat dekat dengan diri. Gagal dan berjaya. Itu lumrah yang harus diterima oleh penulis.

Cerita-cerita seperti ini bagus untuk mendidik pembaca supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian. Abaikan cercaan orang lain walaupun daripada ahli keluarga terdekat.

Sehingga kini saya masih tak jemu membaca kisah Noni.

Saya harap buku saya akan menjadi Rumah di Selekoh untuk pembaca lain pula. Buku yang saya tulis mendorong pembaca menukarkan impiannya menjadi penulis sebagai satu kenyataan.

Published inBukustetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *