Skip to content

Berjaya di bidang yang salah

Saya lihat ada dua mesin dan dua barisan. Saya beratur di mesin pertama. Panjang barisannya tetapi entah mengapa saya mahu beratur di situ juga. Sedangkan barisan di mesin kedua tidak panjang. Ada enam orang yang beratur di hadapan saya.

Mengisi masa sementara giliran tiba, saya melayari Facebook di handphone sebagaimana yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia. Ketika sudah sampai giliran orang di depan saya, saya mengangkat kepala dan melihat mesin.

Oh, silap.

Mesin deposit tunai.

Sebenarnya saya mahu mengeluarkan duit bukan mahu memasukkan duit. Bagaimana saya boleh tersilap?

Hendak ke mesin ATM di sebelah mesin deposit tunai ini saya malu pula. Malu tidak bertempat. Maka saya keluar dari barisan dan pergi ke tandas dahulu. Kemudian saya mengeluarkan duit di mesin ATM yang berdekatan dengan tandas.

Apa yang mahu saya sampaikan sebenarnya daripada cerita tersalah mesin?

Pagi sebelum keluar ke bandar, saya melihat emel dan membuka video Jeff Goins yang menceritakan perihal buku terbaru beliau iaitu The Art of Work.

Kata beliau, bagaimana jika kita berjaya di bidang yang salah.

Berjaya di bidang yang salah?

Success in the wrong field?

Ayat beliau menarik perhatian saya.

Beliau menceritakan seorang eksekutif yang berjaya dalam karier korporatnya tetapi masih merasakan ada sesuatu yang kurang dalam kejayaannya. Dia tidak gembira dengan kejayaannya dalam bidang korporat. Akhirnya individu tersebut berhenti daripada dunia korporat dan menceburi bidang lain yang lari jauh daripada dunia korporat. Ternyata individu tersebut bahagia dengan pilihannya.

Adakah kita berjaya di bidang yang salah?

Penat-penat kita bekerja keras selama ini dalam karier yang kita ceburi tetapi pada akhirnya kita masih tidak berpuas hati. Seolah-olah ada sesuatu yang kurang. KIta masih tidak gembira walaupun berjaya. Tidak ada kepuasan dalam dunia itu.

Mungkin seorang itu berjaya sebagai seorang jurutera tetapi jauh di sudut hatinya dia mahu menjadi seorang pendidik. Atau dia terkenal sebagai akauntan tetapi sebenarnya dia mahu menjadi chef.

Bagi diri saya, saya tidak mahu mengatakan saya berjaya di bidang yang salah. Kenapa?

Kerana dahulu sewaktu kecil memang cita-cita saya mahu menjadi doktor. Tetapi apabila melangkah ke alam persekolahan menengah, minat saya condong ke arah sastera.

Namun kuasa Allah meletakkan saya di tempat di mana saya berada sekarang.

Saya bersyukur kerana dengan karier ini saya mendapat sesuatu yang lebih mahal iaitu pengajaran. Hidup ini singkat, usah menyesal dengan pilihan yang telah kita buat.

Sama ada berjaya di bidang yang salah atau betul, bagi saya apa yang lebih penting ialah adakah kita melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri tetapi kepada masyarakat, agama dan negara.

Saya menambah bilangan pakar-pakar kecemasan di Malaysia. Saya masih boleh menulis walaupun saya bekerja sebagai doktor. Jadi, jika saya berada di bidang yang salah sekali pun, semuanya ada hikmah yang tersembunyi.

Kita berada di tempat sepatutnya sekarang.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *