Skip to content

Anak saya kena tidur di buaian

Usia anaknya baru mencecah enam bulan. Kata si ibu, anaknya tampak terkejut tiba-tiba. Tiada angin, tiada ribut, tangannya tersentak-sentak. Berlaku dalam masa seminggu ini. Tidak pernah terjadi dahulu.

Si ibu menunjuk video yang dirakam ketika anaknya terkejut itu. Matanya terbuka luas ketika kejadian. Beberapa saat saja ianya berlaku.

Dikhuatiri sawan. MO mahu memasukkan bayi ini ke wad kanak-kanak untuk pemerhatian dan penyiasatan lanjut. Lagi pun mereka datang dari daerah lain. Si ibu mahu berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak di sini.

“Boleh minta bilik tak?” Tanya si ibu.

Kami tercengang. “Bilik? Kenapa mahu bilik?”

“Oh, anak saya ni kena tidur dalam buaian. Kalau tak ada buaian, dia tak boleh tidur. Kalau dapat bilik, senang kami mahu bawa buaian.” Jelas si ibu membuat mulut kami semakin terlopong membentuk huruf O.

Dalam masa yang sama, anaknya merengek-rengek tidak henti-henti. Walaupun dipujuk oleh nenek yang sedang mendukungnya. “Itu dia mengamuk nak tidur la. Tapi tak boleh tidur sebab tak ada buaian kat sini.”

MO menerangkan pada si ibu. “Bilik di wad kanak-kanak hanya untuk kes tertentu yang mana pesakitnya kena diasingkan daripada pesakit lain. Contohnya kes campak atau TB.”

“Kalau tak dapat bilik, macam mana dia mahu tidur? Wad biasa ada buaian ke?” Si ibu sudah mula menunjukkan sikap tidak senang hati.

“Kamu pujuklah dia tidur. Lama-lama dia mengantuk, tidurlah.” Saran MO.

SI ibu tampak seperti tidak dapat menerima. “Saya tahu anak saya memang tak boleh tidur kalau tak dapat buai. Kamu tengoklah, dia menangis tak berhenti tu.”

“Dia menangis, kamu pujuklah.”

“Dia memang mahu buaian, baru boleh tidur. Kalau tidak, macam ini la.” Balas si ibu. Nenek yang mendukung bayi sibuk memujuk anak itu tetapi rengekannya tidak berhenti.

“Kamu telefonlah ke wad, tanya ada bilik atau tidak.” Gesa si ibu.

“Puan, bilik terhad dan bukan untuk kes macam anak Puan ni.”

Si ibu sudah tidak senyum. MO saya pun sudah naik letih mahu memberi kefahaman kepada si ibu. Sesungguhnya kami tidak dapat memenuhi setiap permintaan ibu bapa. Mahu bilik untuk bawa buaian anak?

“Saya bincang dulu dengan suami saya.” SI ibu mengeluh dan keluar.

Saya geleng-geleng kepala.

Pada akhirnya si ibu menandatangani surat keluar dari hospital (AOR Discharge) dan mahu ke hospital swasta. Mahu minta bilik untuk anaknya di sana agar boleh bawa buaian.

P.S : Nota untuk diri sendiri, kalau dapat anak, jangan manjakan dengan buaian. Tidur saja atas tilam. ?

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *