Skip to content

Anak atau kerja

Anaknya baru berusia 5 bulan. Menghidap penyakit jantung sejak lahir.

Sekejap demam sekejap elok. Minggu lepas datang ke hospital dan doktor menyarankan agar anaknya ditahan di wad.

Si ibu enggan. Katanya jika anak dimasukkan ke wad, dia tidak dapat pergi bekerja. Sedangkan majikan sudah memberi amaran kerana dia kerap kali mengambil cuti gara-gara menumpukan perhatian pada si anak yang sakit.

Majikan akan memecatnya jika dia mengambil cuti lagi.

Kali ini dia datang lagi kerana demam anaknya masih tidak sembuh. Malah semakin susah untuk bernafas. Biru pucat bibir dan muka. SpO2 pun di tahap yang membimbangkan.

Beransur-ansur merah semula mukanya setelah dilekatkan salur oksigen ke muka.

Memang mudah jika kami mahu memarahinya kerana enggan masuk ke wad minggu lalu dan datang semula dengan anak yang sudah semakin teruk.

Tetapi kasihan si ibu. Pasti tersepit antara kerja dan anak. Kalau tidak kerja, bagaimana kehidupan anak. Namun anak sudah tentu lebih penting. Nyawa tidak ada tukar gantinya.

Kami tidak berada di tempatnya. Kami tidak mengerti keperitan yang dihadapinya dalam meneruskan perjalanan. Hidup ini sudah cukup sukar bagi si ibu dan anaknya. Tidak perlu kami menambah luka di hatinya.

Tidak faham tetapi sekurang-kurangnya usah menuduh dia sebagai ibu yang tidak sayangkan anak.

Kami cuba meminta pertolongan dari bahagian kebajikan hospital agar ada yang boleh dibantu kepadanya.

Akhirnya si ibu memilih si anak. Dia merelakan anaknya dimasukkan ke wad hari ini. Dia tidak mahu kehilangan permata hatinya. Walaupun ini bermakna dia akan kehilangan pekerjaannya. Majikan akan memecat dirinya kerana bercuti lagi hari ini dan hari seterusnya.

Si ibu mengukir senyum melihat anak yang tidak kebiruan lagi. Senyum pahit dalam resah memikirkan mata pencarian yang akan hilang.

Semoga diberi kekuatan untuk dia terus tabah meneruskan kelangsungan hidup.

Benarlah, pekerjaan ini memberi saya peluang melihat seribu satu kisah manusia di sekeliling.

Mengingatkan saya untuk terus bersyukur dengan segala yang saya miliki. Walaupun ada banyak lagi hasrat saya yang belum tertunai. Kerana apa yang saya ada mungkin hanya impian yang tidak terjangkau bagi orang lain

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *