Skip to content

Adik Aku Datin

Sudah lama tidak menonton drama. Malam ini memandangkan saya menemankan emak di depan televisyen, maka saya pun mengikuti sama drama yang ditayangkan.

Adik Aku Datin.

Cerita yang ringkas tetapi ada pengajaran yang boleh dikutip.

Bagaimana Mimi berangan-angan dan mengubah dirinya serta gaya hidup apabila suaminya, Latiff memberitahu mungkin dia akan menjadi Datuk. Maka Mimi sudah menggelarkan dirinya Datin Mimi.

Dia beli kereta baru untuk dirinya dan anaknya. Berhajat mahu mengubahsuai rumah dengan meminjam duit daripada Along.

Manakala Boboy, anak Mimi turut sama mengikut lagak emaknya. Mengaku dirinya anak Datuk dan bersikap sombong.

Sedangkan sebenarnya Latiff bukannya dikurniakan gelaran Datuk. Sebaliknya dia cuba membeli gelaran Datuk dengan membayar sejumlah wang. Malangnya dia ditipu.

Cerita boleh mendidik.

Perkara yang tidak pasti, usah dihebahkan terlebih dahulu. Bimbang kelak memalukan diri sendiri.

Bertukar gelaran atau naik pangkat bukan tiket untuk membangga diri atau menunjuk lagak.

Pada akhirnya, yang penting apa yang kita lakukan dengan gelaran itu. Adakah gelaran itu menjadi perangsang untuk kita lebih menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara. Atau gelaran itu sebenarnya boleh mengubah kita menjadi insan yang menongkat langit dan tidak berpijak di bumi nyata lagi.

Sama juga dengan gelaran doktor.

Lesen bergelar doktor bukan lesen untuk berlagak sombong dan merasakan diri sendiri saja pandai. Lesen yang diberikan untuk menjadikan kita insan yang lebih mengerti hakikat kehidupan dan kematian.

Garis tipis yang memisahkan sama ada kita merawat atau membunuh pesakit.

Kita membunuh pesakit jika kita tidak tahu apa yang kita lakukan. Tidak tahu dan enggan bertanya.

Sama juga dengan penulis.

Adakah apa yang kita tulis mendekatkan pembaca kepada Tuhan atau semakin melalaikan.

Jadikan kemahiran menulis itu sebagai tiket untuk ke syurga. Bagaimana? Dengan mendidik pembaca.

Huh, banyak betul yang saya fikirkan dengan hanya menonton drama Adik Aku Datin.

Semua orang dapat pengajaran. Latif tertipu RM30,000. Mimi insaf lepas pinjam dengan Along dan kereta kena tarik. Boboy malu berdepan dengan rakan sekolej.

Itulah kehidupan. Selagi bergelar manusia, kita tidak lari dari kesilapan.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *