Skip to content

16 Tahun Jadi Doktor

Ada apa dengan 16 Jun?

16 Jun 2003.

Tarikh saya mula menjadi doktor. Sebelum itu gelarannya ialah mahasiswa fakulti perubatan.

16 Jun 2019.

Diam tak diam, sudah 16 tahun saya menjadi doktor. 16 tahun bukan jangka masa yang singkat. Pelbagai peristiwa berlaku dalam masa 16 tahun.

Kawan-kawan masih ingatkah apa cita-cita semasa zaman sekolah rendah?

Cita-cita saya ialah menjadi doktor. Kenapa mahu jadi doktor? Mahu menolong orang sakit. Jawapan yang klise? Ya, itulah jawapan saya.

Ketika di sekolah menengah cita-cita menjadi doktor bertukar kepada ingin menjadi seorang penulis.

Kenapa saya tidak teruskan cita-cita menjadi penulis?

Kerana saya tidak tahu. Saya tak tahu bagaimana untuk menjadikan penulisan sebagai satu kerjaya. Saya tak nampak laluan sebagai penulis. Saya tak nampak masa depan sebagai penulis.
Dalam pengetahuan saya yang naif ketika itu, menulis hanya boleh dijadikan hobi, bukannya satu kerjaya, bukannya satu cara yang boleh memberi sumber pendapatan.
Selain cita-cita mahu jadi penulis, saya ada cita-cita lain.

Mahu jadi pemain badminton.
Mahu jadi ahli sukan taekwondo.

Tak ke mana juga saya main badminton. Sekadar bermain untuk mengisi masa lapang dan mengeluarkan peluh. Saya tak pernah masuk dalam pertandingan badminton kerana memang tak hebat pun dalam permainan ini. Main suka-suka saja.

Bersungguh-sungguh dalam seni mempertahankan diri taekwondo hingga pernah terdetik mahu jadi jurulatih taekwondo (Pengaruh Coach David). Siap tolong Coach David ajar pelajar tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Rupanya setakat itu saja.
Akhirnya fokus kepada bidang perubatan.

Lima tahun di Fakulti Perubatan Universiti Malaya menemukan saya dengan ramai lagi rakan-rakan yang sama-sama mengejar cita-cita menjadi doktor. Lima tahun yang bukan mudah untuk dilalui. Belajar dalam bahasa inggeris merupakan satu kejutan dan membuatkan saya terkial-kial untuk memahami pelajaran. Takut-takut semasa menjalani praktikal dan bila kena marah dengan pensyarah.

Ingatkan sudah hebat sangat bila dapat ijazah MBBS.

Sekarang sudah dapat gelaran doktor. Terasa diri di puncak awan. Rupanya itu permulaan untuk satu kehidupan yang benar-benar realistik.

Dipanggil houseman, doktor pelatih, doktor junior atau paling glamour ialah HO. Betul-betul menguji kesabaran dan minda. Alhamdulillah Tuhan kekalkan kewarasan semasa menjalani housemanship.

Pergi kerja sebelum matahari terbit, balik kerja bila matahari sudah terbenam. Hari-hari kerja. Hari-hari kerja. Bila cuti? Entah, saya pun tak ingat. Macam lebih senang mencari jongkong emas daripada bercuti semasa houseman.

Jatuh sakit pun kena oncall. Tak boleh tak kerja. Kerja. Kerja. Kerja dan kerja.

Naik taraf ke pegawai perubatan atau medical officer (Ini yang orang sebut MO), boleh tarik nafas sedikit. Seronok dengan kerja berpasukan di Jabatan Kecemasan atau Accident & Emergency Department (AE).

Pernah tengok macam mana pasukan kereta lumba Formula 1 bekerja, seperti itu kami di AE bekerja. Tak ada jurang antara doktor, jururawat dan penolong pegawai perubatan. Semua bersatu hati dalam merawat pesakit.

Beberapa tahun jadi MO, bos bising-bising.

“Kau nak mereput kat sini sampai bila?”
Bos suruh sambung belajar.

Saya yang menurut perintah. Saya terinspirasi juga dengan karisma bos saya tu. Jadi saya pun setuju untuk sambung belajar jadi pakar kecemasan.

Alhamdulillah diterima masuk dalam program master perubatan kecemasan Universiti Malaya (UM). Sekali lagi saya kembali ke UM. Sirih pulang ke gagang.

Kenapa suka sangat UM? Undergraduate UM. Postgraduate UM. Ada rahsia sebenarnya. Kenapa saya nak sangat UM?

Dahulu saya teringin masuk Fakulti Sastera Universiti Malaya. Cita-cita semasa sekolah menengah. Hendak sangat menjadi mahasiswa Fakulti Sastera UM. Tak tercapai hajat nak masuk Fakulti Sastera. Jadi saya pasang tekad baru. Masuk saja apa-apa fakulti di UM. Yang penting UM. Tak dapat Fakulti Sastera dapat fakulti lain pun boleh.

Itulah kisahnya kenapa saya pilih UM.

Okay, berbalik pada cerita asal.

Sekali lagi saya silap. Fikirkan, belajar undergraduate susah. Rupanya belajar postgraduate berkali ganda susah. Bukan setakat belajar tapi bekerja sambil belajar. Yang utama ialah bekerja, belajar itu sambilan saja.

Memanglah kita belajar juga sewaktu menjalankan tugasan itu, hakikatnya tetap perit. Mencari masa untuk belajar dalam kesibukan kerja. Kerja syif. Pandai-pandailah cari masa untuk belajar. Kalau ada kelas waktu kerja, kena utamakan kerja. Kelas jatuh nombor dua. Kelas pun seminggu sekali. Yang lain belajar sendiri atau kutip ilmu daripada senior dan pakar sewaktu bekerja di jabatan.

Bukan sekali fikir untuk berhenti daripada program master. Berkali-kali. Tak terkira. Kuatkan semangat dengan dorongan emak babah, ahli keluarga dan kawan-kawan serta belas ihsan Tuhan. Ikutkan hati mahu berhenti. Berhenti. Tak mahu teruskan. Rasa susah.

Gagal peperiksaan akhir menyebabkan saya lagi sedih. Niat berhenti semakin kuat. Kawan-kawan pujuk. Siap ajak pergi cuti untuk tenangkan hati. Pergi menyelam. Saya pun teruskan belajar.

Enam bulan sekejap saja rupanya. Ulang peperiksaan dan Alhamdulillah berjaya lulus. Berita lulus dapat ketika saya berada di pulau. Sibuk menyelam juga pada waktu itu.

Lulus jadi pakar kena hantar bertugas keluar dari Semenanjung. Seumur hidup tak pernah bekerja di Sabah. 2014 tahun pertama saya bertugas di sini. Banyak orang baik di sini memudahkan perjalanan saya.

Jadi seorang pakar berbeza dengan MO dan HO. Sangat berbeza. Tanggungjawab terasa sangat berat. Mungkin ada yang rasa, “Eh, EP aku ni goyang-goyang kaki je.”

Padahal dalam hati saya, kalau diberi bertukar mahu jadi MO saja. Tak perlu fikir untuk satu jabatan. Tak perlu fikir untuk semua staf. Tak perlu ambil tahu semua benda. Tak nak ambil tahu pun kena ambil tahu juga. Salah MO pun, eh… pakar yang kena marah dulu.

2014 hingga sekarang 2019. Tahun keenam jadi pakar perubatan kecemasan. Sekejapnya masa berlalu. Kalau ada anak, sudah masuk tadika Genius Aulad. Eh….

Berapa lama lagi saya akan bekerja sebagai doktor? 3 tahun? 5 tahun? 10 tahun? Atau sampai pencen? Hmm…. pencen umur berapa pun saya tak ingat.

Tuhan saja yang tahu sampai bila saya akan jadi doktor.

Adakah saya menyesal tak dapat jadi jurulatih taekwondo?

Adakah saya menyesal menjadi doktor?

Tak.

Ini takdir laluan hidup saya. Dengan kerjaya ini saya belajar erti kematian dan menikmati hidup sepenuhnya. Kerjaya ini memberi ilham untuk saya menulis buku demi buku. Daripada kegagalan peperiksaan, lahirlah Bangkit Selepas Gagal. Daripada pengalaman kerja di AE, terbit Sehari di A&E dan Triage. Daripada pengalaman menjalani housemanship, saya tulis Be A Happy Houseman supaya HO boleh menamatkan tempoh masa sebagai houseman.

Lagipun cita-cita untuk menjadi penulis pun sudah tercapai. Jadi tiada penyesalan dalam menjadi doktor. Kerana sekarang saya dah jadi doktor dan penulis. Dua-dua yang saya mahukan.

Buat doktor di luar sana yang masih tercari-cari halatuju sama ada mahu teruskan perjalanan ini atau bertukar haluan, hanya anda yang boleh menjawab soalan ini. Bukan ibu bapa anda, bukan pasangan anda, bukan kawan-kawan anda.
Kenapa jadi doktor?
Mahu terus jadi doktor?
Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda.

Saya terhutang budi.
Terima kasih pada semua yang memudahkan perjalanan saya sebagai seorang doktor.

Terima kasih

  1. Keluarga
  2. Sahabat-sahabat

  3. Kawan-kawan KTAM & KISAS

  4. Rakan-rakan Universiti Malaya undergraduate dan postgraduate

  5. Rakan sekerja dan staf di Hospital Kuala Lumpur

  6. Rakan sekerja dan staf di Hospital Sultanah Aminah

  7. Rakan sekerja dan staf di Pusat Perubatan Universiti Malaya

  8. Rakan sekerja dan staf di Hospital Queen Elizabeth
  9. Rakan sekerja dan staf di Hospital Wanita & Kanak-kanak Sabah
P.S: Teka tahun depan saya ucap terima kasih kepada staf hospital mana?
Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *